BUKIT MERTAJAM, SABTU, 28 Julai, 2012: Polis menahan seorang lelaki warga Indonesia dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah dan menemui dadah jenis syabu seberat empat kilogram bernilai RM1 juta di dalam kereta yang dipandunya dalam operasi jalan raya dan cegah jenayah di Juru di sini awal hari ini.
Jurucakap polis berkata dalam operasi yang bermula jam 12 tengah malam itu, Unit Peronda Polis Elit Evolution X (MPV-Evo) mengesan sebuah Toyota Camry yang dipandu lelaki warga Indonesia dalam keadaan mencurigakan dan menahan kenderaan terbabit.
Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan dadah jenis syabu itu, katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Jurucakap itu berkata dadah tersebut dipercayai diperoleh dari selatan untuk dihantar kepada anggota sindiket di kawasan utara.
Katanya lelaki berusia lingkungan 30-an itu yang mempunyai dokumen perjalanan sah, ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan usaha mengesan anggota sindiket yang lain di utara tanah air giat dijalankan.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan siasatan sedang dijalankan.
"Hasil kepekaan dan tindakan pantas MPV-Evo berjaya menahan kereta terbabit serta membongkar kegiatan pengedaran dadah. Ini adalah kejayaan terbesar skuad MPV-Evo yang diketuai Pegawai Turus Unit Peronda Polis Pulau Pinang, Cif Inspektor Rohizad Halim," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment