My Add

Friday 27 July 2012

RM13b peluang niaga dijana

*NAJIB Tun Razak mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Agenda Bumiputera di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya semalam. Turut sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (lima, kiri) dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa (kiri). - BERNAMA

PUTRAJAYA KHAMIS, 26 Julai, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, peluang perniagaan berjumlah kira-kira RM13 bilion telah dijana untuk manfaat Bumiputera menerusi inisiatif yang dilancarkan oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Perdana Menteri berkata, inisiatif yang dilancarkan Teraju, yang ditubuhkan Februari lepas, berpandukan kepada hala tuju transformasi ekonomi Bumiputera yang diumumkan kerajaan sebelum ini.

Antara inisiatif yang menyumbang kepada jumlah itu ialah melalui dasar untuk memberi peluang secara carve out kepada syarikat-syarikat Bumiputera yang terlibat dalam projek Transit Pantas Massa (MRT) melalui MRT Corporation Sdn Bhd.

"Sehingga ini, 47 peratus daripada jumlah pakej, ditawarkan kepada syarikat-syarikat Bumiputera, iaitu melebihi sasaran 43 peratus yang ditetapkan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat ketiga Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) di sini, hari ini.

Najib berkata, mengikut unjuran ketika ini, jumlah keseluruhan pakej itu bernilai kira-kira RM9.3 bilion, yang menyaksikan jumlahnya melangkaui sasaran RM8.5 bilion.

Menurutnya, kerajaan berpuas hati dengan jumlah itu, bukan sahaja dari segi jumlah besar yang berjaya diagih, tetapi juga dari segi proses penentuan syarikat-syarikat berkenaan yang dibuat dengan cara yang begitu telus, berdasarkan kepada syarikat-syarikat Bumiputera yang terbaik dari kalangan syarikat Bumiputera.

"Proses ini dilakukan berdasarkan kepada merit dan tidak memberi kelebihan kepada mana-mana syarikat melainkan berdasarkan kepada kriteria kemampuan dan kebolehan syarikat tersebut," katanya.

Sementara itu, Najib berkata mesyuarat MTAB hari ini juga meluluskan 20 buah lagi syarikat yang layak untuk program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras), yang merupakan satu lagi program perdana Teraju, menjadikan jumlahnya kini 150 buah.

"Melalui inisiatif ini, kita dapati bahawa jumlah modal berbayar ialah kira-kira RM1 bilion dan perolehan keseluruhan RM7.9 bilion. Ini bererti syarikat-syarikat Teras ini mempunyai potensi berkembang dan mampu bersaing untuk mendapatkan kerja-kerja dari sektor awam," katanya.

Perdana Menteri seterusnya mengumumkan keputusan mesyuarat melanjutkan tempoh Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) di bawah kelolaan Prokhas untuk setahun lagi, di mana dana RM930 juta yang belum digunakan lagi oleh syarikat-syarikat Bumiputera akan diperuntukkan sehingga 31 Disember, 2013.

Walau pun skim jaminan itu pada mulanya hanya diperuntukan kepada perniagaan kecil dan sederhana (PKS), namun kini, katanya syarikat-syarikat Teras yang bukan PKS, malah lebih besar daripada itu juga, layak untuk menyertai skim tersebut.

"Saya dan anggota majlis yakin inisiatif yang diperkenalkan ini akan memberi peluang yang lebih meluas kepada syarikat-syarikat Bumiputera untuk capai kejayaan lebih besar pada masa akan datang," katanya. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment