My Add

Sunday, 1 July 2012

Salahuddin bukan calon MB Johor - Hadi

MOHD AZLIM ZAINURY
MARANG, SABTU, 2012: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengesahkan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yang dikatakan akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), bukan calon Menteri Besar.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Pas belum lagi mencalonkan mana-mana pemimpin daripada parti itu untuk jawatan tersebut, sebaliknya lebih menumpukan gerak kerja untuk merampas negeri itu daripada Barisan Nasional (BN).

“Kita belum calon sesiapa untuk menjadi Menteri Besar. Kita hendak menang dahulu,” katanya menjawab spekulasi Salahuddin sebagai bakal calon Menteri Besar jika Pakatan Rakyat (PR) menguasai negeri itu pada PRU13 nanti.

Salahuddin yang lahir di Kampung Serkat, Tanjung Piai, Pontian, Johor itu berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kubang Kerian pada PRU12 lalu dan mengekalkan kerusi Naib Presiden Pas pada pemilihan parti itu pada Jun tahun lalu.

Selain namanya disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Johor, beliau sebelum ini juga dikatakan dirisik agar bertanding Parlimen Pasir Mas di Kelantan, Titiwangsa (Wilayah Persekutuan) selain Dun di Johor bagi menghadapi PRU13.

“Saya boleh kata (sokongan) meningkat, kita dah dapat dua kerusi di Johor, kerusi kita dah meningkat, nak tawan pun tidak mustahil tetapi tidak mudah. UMNO (pasti) akan pertahankannya habis-habisan tetapi tidak mustahil kita boleh menang,” katanya pada Himpunan Hijau Ke Putrajaya di Kampung Batu 10, Bukit Payong, semalam

Hadir samaSetiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut di sini. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment