My Add

Sunday 29 July 2012

Selesai masalah UMNO, BN secara musyawarah: Muhyiddin

*MUHYIDDIN Yassin memasak pisang goreng ditemani isterinya, Noorainee Abdul Rahman (kanan) ketika meninjau gerai-gerai bazar Ramadan di Taman Indah Permai, Sepanggar, dekat Kota Kinabalu, Sabah, semalam. Turut serta Datuk Seri Musa Aman (dua, kiri). - BERNAMA

SEPANGGAR, SABTU, 28 Julai, 2012: Pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di semua peringkat diingatkan supaya menyelesaikan secara musyawarah setiap perbezaan pendapat yang timbul bagi mengelak timbulnya perasaan buruk sangka.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses pertemuan dan perbincangan amat penting bagi membolehkan sesuatu isu yang timbul itu dapat difahami dengan sebaik mungkin, sekali gus menyelesaikannya secara kekeluargaan.

"Pada setiap masa akan ada pihak-pihak tertentu yang akan cuba menjejaskan hubungan baik semua pihak, bagi mereka ketegangan dan keadaan politik yang tidak stabil merupakan kelebihan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Jamek Kampung Likas di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Datuk Jumat Idris yang merupakan tuan rumah kepada majlis itu serta pimpinan UMNO dan BN negeri.

Tambah Muhyiddin, pendekatan musyawarah bukan sahaja diajar oleh agama Islam tetapi turut dianjurkan oleh agama-agama lain yang mahukan semua pihak berada dalam keadaan baik dan sempurna.

Jelas beliau, perpaduan antara semua pihak merupakan resipi utama kejayaan BN untuk mengekalkan kemenangan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Terdahulu, Muhyiddin bersama Musa membuat lawatan ramah mesra di Bazar Ramadan Indah Permai, Sepanggar dekat sini sejurus tiba dari Kuala Lumpur dan melawat 176 gerai yang menjual pelbagai juadah untuk berbuka puasa.

Turut sama ialah isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, isteri Musa, Datin Seri Faridah Tussin dan Pembantu Menteri Kemajuan Sumber dan Teknologi Maklumat Negeri Datuk Jainab Ahmad Ayid, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Karambunai. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment