My Add

Sunday 29 July 2012

PM rasmi majlis pecah tanah projek jalan di Sik hari ini

PUTRAJAYA, SABTU, 28 Julai, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan majlis pecah tanah projek jalan Kampung Merbau Kudung Felda Teloi Timur - Jalan Merbau Kudung, Batu 5, Sik, Kedah sempena lawatannya ke Kedah esok.

Pengerusi Seranta Felda, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid berkata, jalan raya sepanjang 8.7 kilometer bernilai RM25 juta itu akan memendekkan jarak perjalanan kira-kira 30 minit antara penduduk Batu 5 dan Pendang.

Beliau berkata, manfaat daripada pembinaan jalan raya itu akan memberi kemudahan kepada penduduk antaranya dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan nilai tanah kampung tradisional di sekitar kawasan itu.

"Tiga tahun lalu Perdana Menteri telah menghadiri majlis berbuka puasa bersama peneroka dan mereka meminta agar kerajaan bina jalan raya untuk kemudahan rakyat setempat.

"Perdana Menteri berjanji kepada mereka untuk membina jalan raya itu dan hari ini beliau berasa bertanggungjawab untuk melunaskan janji itu walaupun sibuk pada bulan Ramadan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jelas beliau, Perdana Menteri tidak mahu menunggu lebih lama untuk menunaikan janjinya itu kerana rakyat amat memerlukan jalan raya yang sempurna untuk keselesaan dan kesejahteraan mereka.

Pada majlis pecah tanah itu, Perdana Menteri akan mendengar taklimat oleh Pengarah Cawangan Jalan, Jabatan Kerja Raya, Datuk Baharuddin Che Zin mengenai projek jalan tersebut.

Sempena lawatannya itu, Perdana Menteri juga akan menyampaikan bantuan membaik pulih rumah sempena program Kampung Sejahtera Inspirasi Harmoni Felda (Kasih Felda) kepada seorang penduduk.

Beliau akan mengunjungi rumah Habsah Mat Tahir iaitu salah seorang penerima Skim Bantuan Kasih Felda di Kampung Teloi Timur, Jalan Bandar Hilir, Sik.

Menurut Noor Ehsanuddin, kira-kira 1,000 buah rumah akan dibaik pilih membabitkan kos RM5,000 bagi sebuah rumah di Kedah.

Seterusnya, Perdana Menteri akan menghadiri majlis Rahmat Ramadan di Sekolah Kebangsaan Beris Jaya untuk menyampaikan bonus hari raya kepada para peneroka.

"Seramai 112, 635 peneroka di seluruh negara akan mendapat durian runtuh sempena Hari Raya dan ia akan diagih-agihkan secara berperingkat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment