My Add

Thursday 5 July 2012

Soi Lek: Guan Eng tiada moral politik

 Dr Chua Soi Lek
 SHAH ALAM, RABU, 04 Julai, 2012: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mendakwa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak ada moral politik dan keberanian untuk mengambil sikap bertanggungjawab dan menghadapi kesan isu dakwaan skandal apabila mengatakan "saya bukan Soi Lek".

"Adakah Lim Guan Eng mempunyai keberanian macam saya untuk mengakui kesilapan, memohon maaf dan meletakkan jawatan Ketua Menteri dan juga kesemua jawatan dalam parti?" kata Soi Lek dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini menjawab reaksi Guan Eng beberapa jam terdahulu di Georgetown.

Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, jika benar Guan Eng tiada apa-apa untuk menyembunyikan, "mengapa beliau sangat paranoid dan rasa resah untuk menjawab apabila diminta untuk mengulas mengenai dakwaan hubungan beliau dengan bekas pekerja Pejabat Ketua Menteri?"

"Saya tidak berlindung daripada isu, adakah beliau boleh melakukan yang sama?" kata beliau merujuk kepada isu hubungan seks yang terbongkar akhir 2007.

Soi Lek mengakui beliau terlibat dalam skandal dan meletakkan jawatan dalam kerajaan dan parti awal 2008.

Dalam kenyataan Soi Lek mendakwa Guan Eng tiada keberanian untuk berhadapan dengan isu semasa apabila enggan mengulas dakwaan dan mengancam akan menyaman mana-mana media yang melaporkan mengenainya.

Terdahulu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menegaskan, "saya tidak pernah mempunyai hubungan sulit dengan bekas kakitangan."

"Isteri saya juga tidak pernah menyerang saya atau sesiapa pun dalam hidupnya," kata Guan Eng ketika menafikan dakwaan kononnya dirinya terlibat dengan hubungan sulit dengan bekas kakitangan pejabatnya.

Guan Eng berkata, tuduhan yang dilemparkan oleh MCA itu sebagai usaha untuk membunuh karier politiknya selain cuba mengheret isterinya dalam kancah politik kotor Barisan Nasional (BN).

Menurut Lim, setelah BN gagal untuk menghancurkan hidup anaknya dan gagal menjejaskan reputasinya, jentera media BN kini melaksanakan satu lagi kempen dengan memburukkan isterinya pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka.

Guan Eng menyifatkan tindakan Adun Duyong, Gan Tian Loo yang membangkitkan isu itu dalam Dun sebagai menyalahgunakan imunitinya dengan membuat dakwaan palsu mengenai skandal moral terhadapnya dan isteri.

Sehubungan itu, beliau mengulangi desakan isterinya agar Tian Loo mengulangi dakwaan berkenaan di luar dewan.

"Saya mahu Tian Loo mengulangi tuduhan itu di luar supaya saya dan isteri boleh membuat saman fitnah kerana mengeluarkan kenyataan berkenaan.

"Biar saya dan isteri saya membuktikan di mahkamah bahawa MCA adalah penipu. Lim Guan Eng bukan (Presiden MCA) Dr Chua Soi Lek," katanya di Georgetown.

Tian Loo pada sidang Dun Melaka semalam mencetuskan suasana kekecohan apabila menggesa isteri Guan Eng yang juga Adun Kota Laksamana agar menjawab dakwaan bahawa suaminya mengadakan hubungan sulit dengan seorang wanita.

Kejadian itu mencetuskan rasa tidak puas hati Adun DAP dan bertindak keluar dewan. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment