My Add

Sunday 1 July 2012

Sokongan kaum Cina sama penting seperti kaum lain

KUALA LUMPUR, AHAD, 01 Julai, 2012: Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata sokongan kaum Cina bagi membolehkan kerajaan mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya umum akan datang adalah sama penting dengan sokongan dari kaum lain. 

Beliau berkata, melalui pendekatan dan usaha kerajaan untuk kebajikan rakyat dan negara, sokongan semua rakyat pastinya akan diperoleh terutamanya dari kaum Cina.

 "Kaum Cina akan sokong kerajaan selepas melihat semua kejayaan dan keberkesanan perkhidmatan kerajaan selama ini dan MCA akan berusaha memastikan sokongan kaum Cina kepada kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival buah-buahan 'Jom Bentong' di sini hari ini. 

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan memerlukan sokongan kaum Cina bagi mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang. 

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Kesihatan berkata kementeriannya akan mengenal pasti jenis bantuan yang diperlukan oleh St John Ambulans Malaysia (SJAM) bagi mentadbir Pusat Rawatan Hemodialisis mereka. 

Sehubungan itu, Liow berkata, beliau sudah mengarahkan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman untuk bertemu segera dengan SJAM. 

"Kita tahu mereka semua sukarelawan dan kita sokong mereka. Jadi kita mahu tahu adakah mereka kekurangan doktor serta bantuan lain yang diperlukan. Kementerian tidak mahu mereka menjalankan pusat perubatan yang tidak selamat dan kurang berkualiti," katanya. 

Beliau mengulas mengenai laporan bahawa Pusat Rawatan Dialisis SJAM tidak mendapat kebenaran oleh Kementerian Kesihatan untuk beroperasi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment