My Add

Wednesday 4 July 2012

Sukarelawan guru Inggeris rapatkan hubungan Malaysia-AS

KUALA LUMPUR, RABU, 04 Julai, 2012: Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Datuk Paul W. Jones yakin program penghantaran pembantu guru bahasa Inggeris (ETA) Fulbright yang dilaksanakan di negara ini akan dapat memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara.

Menurutnya, program itu akan diteruskan dengan penghantaran seramai 75 sukarelawan lagi pada tahun depan.

``Mereka yang terlibat dengan program itu juga akan merasai suasana aman di negara ini selain berkongsi budaya masyarakat berbilang kaum di negara ini,’’ katanya ketika berucap pada sambutan hari kebangsaan negara itu yang ke-236 di sini semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok.

Kira-kira 1,000 tetamu termasuk ahli Parlimen, diplomat asing, pegawai kerajaan, pemimpin perniagaan, ahli akademik serta pemimpin agama hadir pada sambutan kemerdekaan tersebut.

Program bantuan mengajar bahasa Inggeris tersebut diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berkunjung ke AS dan bertemu Presidennya, Barrack Obama sebelum ini.

Ketika ini terdapat 50 sukarelawan dari AS yang mengajar di sekolah-sekolah di tiga buah negeri iaitu Terengganu, Johor dan Pahang.

Jones berkata, keutuhan hubungan dua pihak yang terjalin selama ini, mampu meningkatkan pembangunan, hubungan perdagangan dan keselamatan bersama.

Mengenai sambutan kemerdekaan yang disambut 4 Julai setiap tahun, Jones mengharapkan kedua-dua buah negara akan terus optimis mengekalkan hubungan baik pada masa depan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment