My Add

Wednesday 4 July 2012

KLIMF 2012: Platform untuk pemuzik bebas

KUALA LUMPUR, RABU, 04 Julai, 2012: Penganjuran Festival Muzik Bebas Kuala Lumpur 2012 (KLIMF 2012) yang akan diadakan pada 8 Julai ini, disifatkan sebagai platform terbaik untuk pemuzik bebas.

Selaku penganjur bersama, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) mahu melihat festival yang pertama kali dianjurkan itu mencapai sasarannya terutama dalam memperkenalkan bakat baru kepada masyarakat.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata, dengan perkembangan muzik yang semakin pesat hari ini, pihaknya mengharapkan KLIMF mampu menjadi pemangkin buat pemuzik tempatan dalam meluaskan lagi karya mereka.

“Jika diperhatikan, industri muzik kita sudah berkembang. Ditambah dengan kelahiran artis baru, ia juga telah merubah trend itu terutama buat pemuzik bebas.

“Mungkin bukan semua yang bertuah untuk dikenali ramai. Atas alasan itu, penganjuran KLIMF 2012 dapat dijadikan pentas untuk memasarkan karya mereka kepada umum," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

KLIMF 2012 merupakan antara acara yang dianjurkan oleh pihak Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dengan kerjasama Istana Budaya (IB) sempena Festival Muzik Kuala Lumpur 2012 (FMKL).

Tambahnya, bagi merancakkan lagi FMKL yang diadakan setiap tahun, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara sudah bersetuju menjadikan festival itu sebagai acara tahunan.

“KLIMF dianjurkan bagi peminat muzik bebas dan menariknya, ia menggabungkan pemuzik baru dan lama di atas satu pentas.

“Apabila memikirkan peluang untuk mereka dikenali begitu terhad mungkin kerana kekangan beberapa perkara, KLIMF mampu memberikan pengalaman baru buat pemuzik serta peminat," katanya.

KLIMF 2012 bakal menampilkan lebih daripada 15 buah kumpulan muzik bebas antaranya Monoloque, OAG, Subculture, Republic of Brickfields dan Tashya’s Ink.

Ia akan berlangsung pada pukul 3 petang hingga 10.30 malam di Laman Santai IB dan masuk adalah percuma. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment