My Add

Saturday 7 July 2012

Sultan Kelantan kesal cubaan eksploitasi agama

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 06 Julai, 2012: Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan perbuatan pihak-pihak tertentu yang berusaha mengeksploitasi perbezaan agama kerana percubaan seperti itu sudah pasti akan membawa kesan buruk kepada rakyat.

Baginda yang juga Sultan Kelantan bertitah, apabila berlaku pergaduhan disebabkan oleh agama atau kepercayaan, keamanan yang dinikmati akan musnah dalam sekelip mata.

Titah baginda, di segi realiti, Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum yang bukan sahaja menganuti agama berbeza, malah bahasa, budaya dan taraf sosioekonomi juga tidak sama.

"Satu hakikat yang perlu diterima, kedudukan Islam telah dimaktub secara rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri, diberi status tertinggi di samping kepercayaan lain diberi kebebasan untuk diamal oleh penganut masing-masing.

"Hal tersebut bertepatan dengan kehendak agama Islam bahawa tidak ada paksaan dalam beragama," titah baginda ketika merasmikan majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-54 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Hadir sama ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Titah Sultan Muhammad V lagi, Islam merupakan milik umat yang wajib dijaga, dikawal dan dipelihara dengan penuh rasa tanggungjawab.

"Umat Islam seharusnya memanfaatkan potensi besar yang dimiliki dengan menggembleng perpaduan ummah, bukan memperluaskan jurang perbalahan dan perpecahan," titah baginda.

Sementara itu, qari muda dari Mozambique, Minrage Biqaire, 19, muncul peserta pertama memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran pada majlis tilawah tersebut.

Seramai 60 qari dan qariah dari 76 negara akan memperdengarkan bacaan masing-masing pada majlis bertemakan Al-Quran: Pemacu Transformasi Ummah Wasatiyah yang berlangsung hari ini hingga 13 Julai ini.

Qariah dari Filipina, Suraidah A. Àmpatuan, 42, menjadi peserta kedua dan terakhir malam ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment