My Add

Tuesday 10 July 2012

Tiada kompromi soal keselamatan PM: Hishammuddin

KUALA LUMPUR, SELASA, 10 Julai, 2012: Tiada kompromi dalam soal keselamatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berikutan insiden lelaki dan wanita mengamuk di luar perkarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya semalam. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pihaknya sentiasa bersiap siaga pada setiap waktu dalam menjamin keselamatan Perdana Menteri. 

"Saya boleh sahkan keselamatan Perdana Menteri tidak pernah dikompromi pada bila-bila masa. PDRM (Polis DiRaja Malaysia) masih menyiasat motif, kaitan dan rancangan. Beri mereka masa untuk lakukan tugasan mereka," katanya dalam status facebook beliau. 

Pasangan amuk itu, Khalil Afandi Hamid, 47, yang mendakwa dirinya Imam Mahadi, dan wanita berumur 28 tahun mengamuk dengan bersenjatakan dua bilah pedang samurai dan sebilah pisau pemotong daging. 

Dalam kejadian 2.30 petang semalam, Khalil Afandi mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari manakala wanita yang juga bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, terkena tembakan di paha kanan dan dirawat di hospital sama. 

Susulan insiden amuk yang pertama kali berlaku itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon, berkata tahap keselamatan di JPM akan ditingkatkan bagi menjamin keselamatan. 

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, berkata keselamatan di JPM adalah terkawal dan polis beranggapan kes semalam tidak akan diambil kesempatan oleh mana-mana pihak. 

"Polis di Putrajaya akan terus meningkatkan rondaan Unit Peronda (MPV) dan menjalankan kepolisan umum di kawasan sekitar JPM dan seluruh Putrajaya," katanya. 

Beliau berkata, polis akan turut menyediakan anggota preman untuk memantau kawasan JPM dan seluruh Putrajaya. 

Ketika dihubungi, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman, berkata pihaknya mencadangkan agar kawalan keselamatan kawasan di luar JPM dipertingkatkan untuk memastikan kejadian semalam tidak berulang. 

"Kawasan di perkarangan JPM sememangnya sudah ketat dan terdapat rondaan dilakukan. Tetapi perlu ditegaskan, kawasan luar JPM juga perlu diberi perhatian dan pemantauan," katanya. 

Pihak berkuasa perlu memerhati pergerakan pihak atau individu yang mencurigakan apabila mereka menghampiri kawasan bangunan JPM dan termasuk kawasan pejabat kerajaan yang lain di Putrajaya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment