My Add

Tuesday 3 July 2012

Transformasi Najib bawa Malaysia muncul negara maju

*AHMAD Husni Hanadzlah (kanan) bersalam dengan Syed Ali Alhabshee selepas menyampaikan taklimat ekonomi dan politik semasa negara pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cheras di Kuala Lumpur, kelmarin.

KUALA LUMPUR, ISNIN, 02 Julai, 2012: Hasrat untuk melihat Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju menjelang 2020 tidak akan kesampaian jika rakyat memilih pembangkang menerajui Kerajaan Pusat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, ini kerana untuk mencapai cita-cita tersebut dalam tempoh yang cuma berbaki lapan tahun lagi, negara memerlukan kestabilan politik dan kesinambungan dasar sedia ada.

Sambil menyifatkan tempoh lapan tahun itu sebagai 'tahun emas' beliau berkata, hanya dasar transformasi yang sudah dan bakal diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mampu membawa Malaysia ke arah tersebut.

"Selaku individu yang terlibat dalam Kementerian Kewangan, saya belajar berasaskan realiti dan tiada siapa kecuali Datuk Seri Najib boleh membawa Malaysia muncul negara maju menjelang 2020. Transformasi yang beliau perkenalkan cukup teliti dan menyeluruh.

"Dunia kagum dengan transformasi beliau kerana ketika Amerika Syarikat dan Eropah mengalami kemelesetan, beliau berjaya memacu Malaysia di landasan yang positif," katanya semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cheras di sini semalam.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee.

Menariknya pada majlis perasmian itu, Ahmad Husni tidak memberikan ucapan sebagaimana amalan biasa sebaliknya beliau membentangkan taklimat lengkap menggunakan powerpoint kepada para perwakilan mengenai kedudukan ekonomi serta senario politik semasa.

Mengulas lanjut beliau berkata, tiada sebarang sebab untuk rakyat membuat eksperimen politik dengan memilih pembangkang kerana terbukti kerajaan Barisan Nasional (BN) berjaya memberi kesenangan, keharmonian serta kemajuan kepada negara.

Sambil memberi contoh bagaimana nasib yang menimpa Argentina apabila bekas Presiden, Juan Peron disingkirkan, beliau berkata, rakyat Argentina yang suatu ketika menikmati pendapatan per kapita AS$10,000 (RM31,636) sebulan akhirnya menjunam kepada hanya AS$2,000 (RM6,327) sebulan.

"Akhirnya apa terjadi? Barulah rakyat Argentina tersedar dan mahu Peron kembali menjadi Presiden sehingga lahirlah lagu Don't Cry For Me Argentina tetapi kita tidak mahu perkara sama berlaku di Malaysia. Jadikanlah ia sebagai iktibar untuk kita," katanya.

Dalam pada itu, beliau memuji kecekapan kepimpinan UMNO Bahagian Cheras kerana berjaya muncul bahagian pertama yang memulakan mesyuarat perwakilan dan berharap, kecemerlangan tersebut dapat diperluaskan kepada rakyat di akar umbi.

Katanya, semua ahli UMNO Bahagian Cheras harus meletakkan diri mereka sebagai 'hero' dengan mengambil tanggungjawab untuk menyebar luas kepada seluruh rakyat mengenai usaha-usaha murni BN dalam membela bangsa, agama dan negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment