My Add

Friday 6 July 2012

Tun Mahathir temui Klaus bincang ekonomi dua hala

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 06 Julai, 2012: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Czech, Vaclav Klaus di hotel penginapannya di sini. 

Dr Mahathir yang tiba pada jam 9 pagi tadi meluangkan masa kira-kira setengah jam bertemu klaus. Turut hadir Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas selaku menteri pengiring. 

Dr Mahathir ketika ditemui pemberita kemudian berkata, beliau pernah bertemu Klaus pada 1996 yang ketika itu menjadi Perdana Menteri republik berkenaan dan sering berbincang mengenai pembangunan antara kedua-dua negara. 

"Malaysia dan Republik Czech mempunyai banyak persamaan, antaranya dulu mereka juga menolak pinjaman dari Tabung Kewangan Antarabangsa seperti Malaysia," katanya. 

Dr Mahathir juga berkata, Malaysia dan Republik Czech berpotensi untuk menjalinkan kerjasama erat dalam bidang berkaitan perindustrian. 

"Banyak peluang pelaburan untuk rakyat dari dua negara ini terokai pada masa akan datang," katanya. 

Selepas pertemuan itu, Klaus bertolak ke Starhill, JW Marriott untuk merasmikan Forum Perdagangan dan Pelaburan Malaysia-Republik Czech. 

Klaus tiba di sini kelmarin untuk lawatan negara selama lima hari ke Malaysia, bagi memenuhi jemputan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment