My Add

Monday 23 July 2012

UMNO tiada hubungan dengan komunis: Zahid Hamidi

*AHMAD Zahid Hamidi (tiga, kiri) bersalaman dengan para perwakilan Parti Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF) semasa merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Ke-20 parti tersebut di Wisma Tan Sri M. G. Pandithan, Seri Kembangan di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, AHAD, 22 Julai, 2012: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini menolak dakwaan kononnya UMNO mempunyai hubungan dengan pihak komunis.

Beliau berkata, UMNO dalam sejarahnya tidak pernah menjalinkan hubungan dengan golongan fahaman komunis.

"Apa buktinya? Dalam sejarah parti UMNO, parti ini anti Parti Komunis Malaya. Jangan buat cerita mengarut," katanya ketika diminta mengulas laporan portal media, Free Malaysia Today (FMT) yang mendakwa kononnya UMNO menjalinkan hubungan dengan pihak komunis.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan ke-20 Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF) di Seri Kembangan di sini.

Dalam laporan FMT semalam, Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyifatkan kenyataan Ketua Penolong Pengarah E2 (M) Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman, Datuk Mohd. Sofian Md. Makinuddin sebagai usaha UMNO dan Barisan Nasional (BN) menggunakan kaedah zaman Perang Dingin.

Mohd. Sofian sebelum ini dilaporkan mendakwa Jemaah Islamiah cuba meresapi Pas dan elemen komunis cuba meresapi DAP. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment