My Add

Friday 27 July 2012

Wajib pertahan keamanan negara

Oleh AZHARI ZAINOODDIN 
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 26 Julai, 2012: Umat Islam yang cuba untuk mengganggu-gugat keamanan yang dinikmati seluruh rakyat negara ini dinasihatkan supaya segera kembali kepada ajaran Islam.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot berkata, perkara itu perlu memandangkan tindakan menghalang dan mengancam keamanan negara bertentangan dengan tuntutan Islam serta bukan akhlak seorang Muslim.

Katanya, umat Islam wajib mempertahan dan menghargai nikmat keamanan yang dikecapi kerana ia turut dituntut oleh Rasulullah.

"Keamanan wajib dipertahan dan dihargai, jadi jangan ada di antara umat Islam sendiri yang cuba melakukan sesuatu bagi mengancam ketenteraman yang dinikmati hari ini.

"Sekiranya keamanan ini hilang dan Malaysia menjadi seperti negara-negara bergolak lain, segala kenikmatan dan kekayaan yang ada akan turut sama lesap, malah kita juga tidak lagi bebas untuk keluar rumah dan beribadat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu umat Islam di negara ini sentiasa bersyukur dengan keamanan yang dikurniakan oleh Allah.

Ini kerana dengan nikmat tersebut membolehkan umat Islam melaksanakan ibadat termasuk berpuasa tanpa rasa takut.

Nooh dalam pada itu menambah, Islam merupakan agama yang hebat dan umatnya sepatutnya menjadi contoh tauladan yang baik kepada masyarakat dunia.

Justeru, Nooh menyeru orang Islam di negara ini agar bersatu dan menjaga nama baik serta imej Islam.

"Jangan kita sebagai umat Islam sendiri yang tegar untuk mencalar dan memburukkan imej agama kita ini," tegasnya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, rakyat terutamanya umat Islam wajib bersyukur dengan keamanan yang wujud di negara ini.

"Walaupun kita terdiri daripada masyarakat berbilang agama, bangsa, etnik dan budaya, keamanan berjaya disuburkan sehingga badan-badan dunia turut mengiktirafkannya," ujarnya.

Beliau dalam pada itu menegaskan, Muafakat mengecam tindakan mana-mana pihak terutamanya umat Islam yang cuba untuk mengancam keamanan negara ini.

"Kita sepatutnya bersama berusaha untuk meningkatkan lagi tahap keamanan yang dikecapi hari ini dan bukan cuba merosakkannya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment