My Add

Friday 27 July 2012

Malaysia negara Islam yang boleh diharapkan


*MUHYIDDIN Yassin bersalam dengan Dr. Obaidullah Obaid yang membuat kunjungan hormat di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, semalam. - BERNAMA

PUTRAJAYA, KHAMIS, 26 Julai, 2012: Kerajaan Afghanistan melihat Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang boleh dicontohi dan diharapkan negara lain di dunia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mesej itu disampaikan Menteri Pengajian Tinggi Afghanistan, Prof. Dr. Obaidullah Obaid yang mewakili Presiden Hamid Karzai untuk lawatan lima hari ke Malaysia.

"Mereka memandang tinggi keupayaan Malaysia dan menyatakan kita sebuah negara Islam contoh yang bukan sahaja boleh diikuti tetapi juga boleh diharapkan untuk membantu umat Islam lain yang menghadapi masalah.

"Inilah keistimewaan Malaysia dan kita harus berbangga dengannya, suasana aman sebegini juga harus dikekalkan malah diperbaiki," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 9 (2), di sini hari ini.

Sempena majlis itu, Muhyiddin turut berbuka puasa bersama warga sekolah dan menyampaikan sumbangan kepada 50 pelajar di sekitar Kajang dan Putrajaya.

Pada pagi ini, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menerima kunjungan hormat delegasi Obaidullah di Bangunan Perdana Putra, di sini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, Obaidullah mengharapkan Malaysia akan memberi bantuan kepada negaranya yang sedang dalam proses pemulihan daripada perang.

Muhyiddin berkata, antara bantuan yang diperlukan Afghanistan adalah dalam bidang pendidikan, teknikal, latihan ketenteraan serta kepolisan.

"Mereka mahu Malaysia membantu proses pemulihan dan pembangunan yang diperlukan Afghanistan selepas negara itu melalui satu tempoh yang agak malang.

"Peperangan yang berlarutan telah mengorbankan ratusan ribu manusia di sana, hampir seluruh sistem sosial dan ekonomi negara itu musnah," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment