My Add

Tuesday 24 July 2012

Warna Jalur Gemilang di Empire State Building

NEW YORK, SELASA, 24 Julai, 2012: Satu daripada mercu tanda terkenal New York, Empire State Building (ESB), akan menghormati Malaysia sebagai antara negara yang menyertai Sukan Olimpik London dengan menyinari ke langit warna Jalur Gemilang. 

Warna merah, putih dan biru bendera negara akan disinari di bahagian timur menara berkenaan pada 9 Ogos. 

Ini kali kedua sinaran warna Jalur Gemilang dipancarkan, kali pertama ketika Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan. 

Kali ini ia dilakukan dalam usaha ESB untuk memancarkan setiap malam warna bendera negara-negara yang mengambil bahagian dalam Olimpik London, di bahagian utara, selatan, timur dan barat menaranya, masing-masing dengan warna bendera empat negara setiap malam. 

"Kami berbangga untuk menyinari lampu menara ikonik kami bagi meraikan negara yang bertanding di London," kata pegawai ESB, Anthony E Malkin. 

ESB meraikan banyak acara komuniti dunia dengan pencahayaan ikoniknya.

Seorang jurucakapnya menyatakan cahaya menara ESB mengiktiraf kejayaan, acara, pertubuhan kebajikan, negara dan cuti umum di seluruh dunia, tetapi bukan meliputi acara politik atau keagamaan. 

ESB dimiliki oleh Empire State Building Company, LLC (ESBC); tidak seperti kepercayaan ramai bahawa ia dimiliki dan ditadbir oleh bandar raya atau negeri New York. 

“Program rakan kongsi pencahayaan ESB secara rasmi diwujudkan selepas ejen pengurusan terdahulu digantikan pada Ogos 2006. Polisi dan amalannya tertakluk kepada perubahan yang dipersetujui pemiliknya," kata jurucakap berkenaan. 

Menurut ESB, ramai pelawat asing termasuk dari Asia Tenggara datang melawat menara berkenaan. 

Ramai pengunjung dari Malaysia berkata kunjungan mereka ke menara berkenaan sama seperti menaiki Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur untuk melihat pandangan menarik di sekitar bandar raya Kuala Lumpur. 

Ramai daripada mereka teruja apabila mendapat tahu menara ini terkenal dengan pembikinan filem block-buster Hollywood, King Kong. 

ESB turut dilawati negarawan, kenamaan, diplomat, tokoh industri, selebriti Hollywood dan Bollywood serta pelancong dari serata dunia. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment