My Add

Tuesday 24 July 2012

Permohonan Bersih batal perintah menteri dibenarkan

Oleh AMIRUDDIN HARUN
KUALA LUMPUR, SELASA, 24 Julai, 2012: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Ahli Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih 2.0) untuk membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri pada tahun lalu yang mengisytiharkan Bersih sebagai pertubuhan haram.

Hakim Datuk Rohana Yusuf memutuskan demikian tanpa kos selepas berpendapat keputusan Menteri Dalam Negeri yang mengharamkan Bersih mengikut Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966 dicemari dengan keadaan yang tidak rasional.

Menurutnya, Bersih dikatakan mengancam keselamatan negara tetapi tindak-tanduk pihak responden yang dinamakan dalam semakan kehakiman tersebut iaitu Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan kerajaan terhadap Bersih menunjukkan sebaliknya.

"Ia boleh jadi dua perkara sama ada Bersih adalah pertubuhan haram kerana menjadi ancaman kepada keselamatan dan seminggu kemudian ia tidak lagi menjadi ancaman atau keputusan untuk mengisytiharkan Bersih adalah haram dibuat tanpa mengambil kira beberapa fakta yang relevan,’’ katanya.

Permohonan untuk membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri bertarikh 1 Julai 2011 yang menganggap kumpulan tersebut adalah pertubuhan haram dikemukakan oleh 14 Ahli Jawatankuasa Bersih termasuk Pengerusinya, Datuk S. Ambiga pada 8 Julai 2011.- UTUSAN

No comments:

Post a Comment