My Add

Wednesday 1 August 2012

20 peniaga Bumiputera rasa teraniaya

KUALA LUMPUR, SELASA, 31 Julai, 2012: Seramai 20 peniaga Bumiputera di Kompleks Pertama diarah mengosongkan premis perniagaan akibat gagal melangsaikan sewa bulanan yang tertunggak empat hingga lapan bulan.

Arahan dikeluarkan pihak pengurusan, Uda Holdings Berhad.

Pengerusi Badan Bertindak Peniaga-peniaga Melayu kompleks itu, Zainul Ahmad berkata, tindakan diambil pihak pengurusan tanpa menyelidik sebab di sebalik kegagalan melangsaikan kadar sewa bulanan ditetapkan.

“Kami menerima notis untuk menjelaskan tunggakan sejak awal bulan ini dan diminta membayar tunggakan berjumlah minima RM20,000 dalam tempoh 15 hari dari tarikh surat itu.

“Sewajarnya, pihak pengurusan perlu mengetahui sebab mengapa kami secara tiba-tiba tidak mampu menanggung kadar sewa bulanan berjumlah antara RM4,000 dan RM10,000 sebulan,” katanya pada sidang media semalam.

Beliau berkata, ia berpunca daripada kemerosotan perniagaan dialami sejak kebelakangan ini.

Zainul berkata, antara perkara menyebabkan pendapatan merosot adalah kewujudan pagar sepanjang 76 meter dibina Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di belakang kompleks itu yang berhadapan pintu masuk bangunan tiga tingkat menempatkan peniaga Bumiputera.

“Sejak awal tahun lalu pagar dibina ini menghalang orang ramai untuk ke sini. Premis kami terletak di bahagian belakang bangunan yang tersorok dan tidak wajar penghadang ini dibina kerana seolah-olah menutup rezeki kami,” katanya.

Menurutnya, penutupan Jalan Semarang yang menghubungkan pintu masuk tempat letak kereta dengan Jalan Raja Laut dan kawasan sekitar pada waktu puncak juga tidak wajar kerana menyukarkan pengguna berkunjung ke bangunan itu.

Katanya, ia menyebabkan keadaan jalan lebih sesak dan mengganggu perniagaan mereka selama beberapa jam.

Pada masa sama, pihaknya turut mempersoalkan tindakan Uda Holdings Berhad yang menerima kehadiran peniaga bukan Bumiputera di premis tiga tingkat itu.

“Bahagian belakang bangunan tiga tingkat ini dikhaskan kepada peniaga Bumiputera dan tidak seharusnya menerima pihak bukan Bumiputera,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan menyerahkan memorandum kepada pihak berkenaan termasuk pihak berwajib dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian terbaik. - MyMetro

No comments:

Post a Comment