My Add

Tuesday 7 August 2012

JKM Kulim cari ibu bapa tiga kanak-kanak yang ditinggalkan

KULIM, ISNIN, 06 Ogos, 2012: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kulim ingin menghubungi seorang ibu dan sepasang suami isteri untuk menyelesaikan kes tiga kanak-kanak yang dijaga sementara oleh dua keluarga di sini.

Pegawai Pelindung Kanak-Kanak JKM Kulim Munirah Athirah Abdul Aziz berkata Noraini Sarmadi, 47, dikehendaki mengambil kembali dua anak lelakinya, Mustafa Kamal Zainal Abidin, 9, dan Mohd Adam, 7.

Alamat terakhir Noraini adalah B8, Kuarters KTMB, Kampong Boyan, 34000, Taiping, Perak.

Kedua-dua beradik itu diserahkan oleh Noraini kepada keluarga Hadzri Md Yusuf, 47, dan isterinya Zarinah Mohd Idris yang menetap di No. 460, Taman Bestari, Kulim pada Mac tahun lepas.

Dia perlu membuat pengakuan bertulis menyerahkan hak penjagaan kedua-dua anaknya itu sekiranya enggan mengambil mereka kembali, kata Munirah Athirah.

Munirah Athirah memberitahu pemberita Norani turut menyerahkan surat beranak kedua-dua anaknya serta salinan fotostat kad pengenalannya kepada keluarga Hadzri.

Kedua-dua beradik itu belajar di Sekolah Kebangsaan Sungai Ular, dekat sini, masing-masing dalam Tahun Tiga dan Satu.

"Sejak mereka ditinggalkan beradik, Noraini ada menelefon sekali untuk mendapatkan maklumat kedua-dua beradik itu bagi tujuan mendapatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)," kata Zarinah, seorang peniaga di sini.

Zarinah berkata dia dan suaminya berhasrat menjaga kedua-dua beradik itu berikutan bapa tiri mereka yang dikenali sebagai Hasan meninggal dunia tahun lepas.

Munirah Athirah berkata JKM memberi tempoh sehingga 14 Ogos ini kepada Noraini untuk mendapatkan kembali kedua-dua anaknya dan selepas itu kes penjagaan mereka akan diserahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

Dalam satu kes lagi, ibu bapa seorang kanak-kanak perempuan yang diberi nama sementara, Nor Nabilah, 20 bulan, diminta menghubungi JKM di sini berkaitan sijil kelahiran bayi itu yang kini dijaga Mohamad Ali Naina Mohamad, 47, dan isterinya Halimah K. Abdul Azeez, 41.

Mohamad Ali, seorang peniaga dari Simpang Tiga Keladi di sini yang turut hadir di JKM, berkata seorang wanita berusia lingkungan 20-an menyerahkan bayi itu kepadanya pada 9 Sept tahun lepas.

Wanita itu yang dikenali sebagai 'Nah' sahaja hanya sekali menelefon bertanyakan anaknya itu dan lepas itu tiada lagi menghubungi kami, katanya.

Ibu bapa kanak-kanak itu dan Noraini diminta datang ke JKM Kulim atau menghubungi Munirah Athirah atau Norizan Hassan melalui talian 04-4907403 atau 04-4914642 bagi membantu menyelesaikan kes anak mereka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment