My Add

Wednesday 8 August 2012

Kembalikan kegemilangan sarjana Islam

ALOR SETAR, SELASA, 07 Ogos, 2012: Kementerian Pengajian Tinggi akan mengadakan forum meja bulat awal Oktober depan bagi berkongsi kepakaran dengan negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke arah mengembalikan kegemilangan sarjana Islam.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, forum itu akan membincangkan tentang hala tuju dan pelan tindakan mengembalikan kegemilangan sarjana dalam kepimpinan bidang sains serta kemanusiaan sejagat.

"Sistem pengajian tinggi di negara ini mempunyai kedudukan istimewa dalam kalangan negara Islam lain dan menjadi pusat rujukan kepada agenda pembangunan modal insan inovasi di peringkat OIC.

"Kementerian akan terus berkongsi kepakaran dan bersedia menyumbang ke arah pembangunan ummah," katanya pada sidang akhbar sempena lawatannya ke Albukhary International University (AIU), di sini hari ini.

Beliau berkata, antara negara yang akan dijemput menyertai forum meja bulat itu adalah Iran, Turki, Mesir, Brunei dan Magribi.

Mohamed Khaled berkata, dunia sememangnya mengiktiraf Malaysia sebagai negara moderat, progresif dan mempunyai pengalaman dalam mengendalikan sektor pengajian tinggi yang berkualiti.

Mengenai lawatan ke AIU, beliau memuji universiti berkonsepkan wakaf itu yang memberi pendidikan secara percuma kepada pelajar terpilih dalam kalangan keluarga miskin hampir 50 negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment