My Add

Thursday 2 August 2012

Kes Khir Toyo: Keputusan rayuan 28 September

 Dr KhirToyo
PUTRAJAYA, KHAMIS,02 Ogos, 2012: Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini hakim perbicaraan kes rasuah bekas menteri besar Selangor, Dr Mohamad Khir
Toyo telah terkhilaf dalam penghakimannya apabila menetapkan penanda aras bagi hartanah di Shah Alam sebagai harga belian yang dibayar oleh pengarah Ditamas Sdn Bhd Datuk Shamsuddin Hayroni tiga tahun sebelumnya (2004), dan bukan berdasarkan harga pasaran pada 2007.

Dalam hujahnya, peguam bela utama Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah berkata mahkamah sepatutnya mengambil kira laporan penilaian bebas bank oleh Rahim & Co yang mentaksirkan harta itu bernilai RM3.5 juta pada 2007.

Kata beliau, hakim perbicaraan Datuk Wira Mohtaruddin Baki menggunakan undang-undang baharu bahawa tanda aras itu adalah harga transaksi terakhir, tanpa mengira sama ada ia adalah melebihi atau kurang daripada 'nilai pasaran
munasabah'.

Katanya, Dr Mohamad Khir sedar sepenuhnya Shamsuddin membeli hartanah itu pada harga RM6.5 juta.

"Anak guam saya membayar RM500,000 dan bakinya RM3 juta diperoleh melalui pinjaman bank," hujah Muhammad Shafee di hadapan panel tiga orang hakim diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin.

Dua lagi hakim ialah Datuk Azhar Mohamad dan Datuk Aziah Ali.
Muhammad Shafie berkata hakim perbicaraan gagal mempertimbangkan bahawa Shamsuddin adalah rakan kepada seorang kontraktor, Nasir Ismail, yang membuat pengubahsuaian terhadap banglo berkenaan dengan kos RM1.5 juta.

Beliau berkata Shamsuddin pada mulanya didakwa atas pertuduhan bersubahat tetapi telah ditarik balik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas Shamsuddin menarik balik kenyataannya kepada suruhanjaya itu.

Beliau seterusnya berhujah Mohtaruddin juga terkhilaf dalam penghakimannya apabila memerintahkan hartanah itu dilucuthak kerana tidak ada peruntukan bagi melucuthak, kerana perayu tidak dikenakan tuduhan memperoleh hartanah (banglo) itu secara tidak sah.

Kata beliau berdasarkan alasan ini sahaja, rayuan Dr Mohamad Khir harus dibenarkan dan keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan.

Pada 23 Disember tahun lepas, Dr Mohamad Khir, 46, telah dijatuhi hukuman penjara 12 bulan selepas didapati bersalah terhadap tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 46, dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8 &
10, Jalan Suasa 7/1L di sini, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya, Shamsuddin, pada pertimbangan yang beliau mengetahui adalah tidak mencukupi pada 2007.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahab Mohamad berhujah bahawa perayu (Dr Mohamad Khir) sendiri telah memaklumkan kepada pihak bank HSBC bahawa beliau ingin membeli hartanah bernilai RM3.5 juta dan ingin membuat pinjaman.

Abdul Wahab berhujah SP2 (Shamsuddin) tidak pernah pada bila-bila masa bersetuju sebagai penjual secara sukarela pada harga itu.

Beliau berkata perayu telah mengambil kesempatan daripada kedudukannya dengan menetapkan harga rendah walaupun mengetahui SP2 akan mengalami kerugian besar.

"Maka, berdasarkan alasan ini, wujud kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, untuk memastikan seseorang pegawai awam tidak boleh mengambil kesempatan daripada seseorang yang mempunyai hubungan rasmi dengannya.

"Shamsuddin terpaksa bersetuju dengan harga perayu kerana dia menyedari syarikatnya (Ditamas Sdn Bhd) mempunyai pelbagai urusan dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor di mana perayu adalah pengerusinya," jelas beliau.
Mahkamah menetapkan 28 September untuk memberi keputusan berhubung rayuan Dr Mohamad Khir. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment