My Add

Wednesday 1 August 2012

Lajim Ukim digugur Timbalan Menteri

KUALA LUMPUR, SELASA, 31 Julai, 2012: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah memberi perkenan membatalkan pelantikan Datuk Seri Panglima Lajim Ukim sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkuatkuasa serta-merta, demikian menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Lajim pada Sabtu lepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort berkuatkuasa serta-merta.

Beliau bagaimanapun masih kekal sebagai anggota UMNO.

Lajim yang mengumumkan peletakan jawatannya di Likas Jaya, dekat Kota Kinabalu, dilaporkan menyerahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukan kedudukannya sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Najib kemudian pada satu majlis di Pekan dilaporkan berkata kedudukan Lajim sebagai timbalan menteri akan diputuskan pada Isnin.

Lajim, 57, dipilih ke Parlimen pada pilihan raya umum 2008 menggantikan penyandang kerusi Beaufort, Azizah Mohd Dun selepas menewaskan Lajim Md Yusof (PKR), dengan majoriti 10,914 undi.

Beliau kemudian dilantik menjadi Timbalan Menteri Pengangkutan pada tahun 2008 sebelum ditukarkan portfolio kepada Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 2009. 
Di KOTA KINABALU, Lajim enggan mengulas buat masa ini isu berkaitan pembatalan pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang berkuatkuasa serta-merta.

"Saya belum komen apa-apa dahulu... nanti pada masa yang sesuai saya akan buat kenyataan," katanya dalam kenyataan ringkas di sini hari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah memberi perkenan terhadap pembatalan pelantikan itu.

Ini mengikut peruntukan Fasal (3) Perkara 43A yang dibacakan bersama Fasal(5) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Lajim pada Sabtu lepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Ketua UMNO Bahagian Beaufort dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort berkuatkuasa serta-merta.

Lajim bagaimanapun berkata beliau masih kekal sebagai anggota Umno. Sementara itu, setiausaha Barisan Nasional Negeri Datuk Abdul Rahman Dahlan, dalam reaksi segera berikutan pembatalan pelantikan Lajim itu berkata, tiba masanya satu tindakan diambil terhadap Lajim.

"Apa yang diputuskan oleh Agong adalah betul. Sesuatu perlu dibuat. Sekarang Perdana Menteri perlu meneliti senario keseluruhan, sama ada hendak membiarkan jawatan itu dikosongkan atau mengisinya," katanya.

Abdul Rahman, yang juga anggota Parlimen Kota Belud, berkata tindakan seterusnya ialah untuk "memecat Lajim daripada UMNO". Katanya, Lajim tidak sepatutnya menentang parti tetapi kekal sebagai ahli UMNO.

Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Johnny Mositun pula berkata, keputusan Najib itu merupakan prerogatifnya sebagai Perdana Menteri untuk melantik atau membatalkan jawatan seseorang dalam Kabinetnya. - BERNAMA



No comments:

Post a Comment