My Add

Sunday 26 August 2012

Lelaki Nigeria dihukum gantung edar dadah

ALOR SETAR, AHAD, 26 Ogos, 2012: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang lelaki warga Nigeria setelah didapati bersalah mengedar dadah tahun lalu.


Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu terhadap Moses Chinedu Nwosu, 50, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Moses seorang pemilik sebuah restoran di Bangkok, Thailand didakwa mengedar dadah jenis ganja seberat 14,302.6 gram di hadapan ruang legar Terminal Bas Shahab Perdana di sini pada 10.35 malam 25 Mac tahun lalu.

Tertuduh yang juga merupakan pelajar di sebuah universiti di Bangkok didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Mohd Zaki berkata keterangan tertuduh adalah penafian semata-mata dan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan.

"Tertuduh mengatakan bahawa beg hitam yang (mengandungi dadah) ditemui bersamanya adalah milik seorang lelaki Melayu yang menaiki teksi bersamanya dari Bukit Kayu Hitam ke Alor Setar.

"Bagaimanapun menurut keterangan saksi, tertuduh dilihat menarik beg hitam itu seorang diri dari kawasan parking ke dalam (terminal bas) dan anak kunci beg hitam itu ditemui dalam poket seluar tertuduh," kata Mohd Zaki. 

Tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak yang masih menetap di Bangkok, kelihatan tenang ketika hukuman dijatuhkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shuhada Mohd Yatim, manakala tertuduh diwakili peguam, RSN Rayer. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment