My Add

Monday 6 August 2012

Lelaki OKU rentung dalam kebakaran di Pulau Pinang

GEORGETOWN, AHAD, 05 Ogos, 2012: Seorang lelaki Orang Kurang Upaya rentung setelah rumahnya di Lorong Batu, Jelutong, terbakar awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.10 pagi itu, mayat Lee Kean Meng, 60, yang tinggal berseorangan di rumah berkenaan, ditemui di gril pintu hadapan rumahnya.

Jiran mangsa, Chin Siew Yong, 50, berkata semasa kejadian, dia mendengar jeritan Lee dan melihat mangsa melambai-lambai meminta pertolongan dari tingkap rumahnya namun tidak dapat membantu kerana api terlalu marak.

"Pada masa itu semua orang tidak berani menolong. Kami hanya mampu melihat sahaja Lee yang mengalami masalah pendengaran dan bisu terperangkap di dalam rumah itu sementara menunggu pasukan menyelamat tiba," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak Yamin Tekor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.22 pagi.

Beliau berkata, struktur rumah yang diperbuat daripada papan menyebabkan api merebak begitu pantas sehingga menyebabkan 100 peratus rumah itu musnah dijilat api.

"Mangsa dipercayai cuba keluar dari pintu hadapan rumahnya namun gagal membuka gril kerana asap terlalu tebal dan dia terperangkap dalam kebakaran itu," katanya.

Yamin berkata, 23 anggota bersama empat jentera bergegas ke tempat kejadian dan pasukan bomba dapat mengawal kebakaran dalam tempoh 20 minit.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat manakala punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment