My Add

Friday 17 August 2012

Loji Langat 2 perlu untuk elak krisis air

SHAH ALAM, JUMAAT, 17 Ogos, 2012:: Pembinaan loji rawatan air Langat 2 bukan lagi sebagai satu pilihan tetapi satu penyelesaian yang diperlukan untuk mengelak krisis air di Selangor, kata seorang profesor Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini.

Prof Dr Suhaimi Abdul Talib, Penolong Naib Canselor (Pembangunan, Pengurusan Fasiliti dan ICT) universiti itu berkata loji Langat 2 patut dilihat daripada sudut lokasinya kerana ia akan membolehkan air dibekalkan ke kawasan-kawasan memerlukan serta membantu loji rawatan sedia ada yang sudahpun beroperasi pada tahap melebihi kapasiti maksimum.

"Jadi, loji di Langat sebenarnya boleh menangani isu ini, jadi ki
ta perlukan loji rawatan ini," kata Prof Suhaimi kepada Bernama dalam temu bual di sini. Prof Suhaimi, seorang jurutera bertauliah, berkata kawasan-kawasan di Selangor yang kini berdepan gangguan bekalan air adalah dari kawasan-kawasan yang loji rawatan air beroperasi bukan sahaja pada kapasiti maksimum malahan ada yang setinggi 120 peratus.

"Jika permintaan air di kawasan-kawasan ini meningkat, mereka pastinya akan mengalami kekurangan bekalan air dan ini akan membawa kepada air perlu dicatu," katanya.

"Daripada pemerhatian saya, Selangor sudah hampir berdepan krisis air dan ini disebabkan pembangunan ekonomi yang pesat di negeri ini sudah mengatasi kemudahan infrastruktur yang disediakan pada ketika ini."

Memberikan contoh pembangunan ekonomi di Selangor daripada segi jumlah kereta di atas jalan raya, beliau berkata Lembaga Lebuhraya Malaysia tidak berpandangan jauh dalam merancang pembinaan projek penyuraian trafik seperti MRR1, MRR2 dan MRR3, iaitu bahawa tiada ruang untuk menempatkan semua kenderaan itu.

"Ia sama dengan air, apabila ada industri diluluskan dan kawasan perindustrian baru dibuka, industri ini perlukan orang dan akan berlaku peningkatan populasi.

"Peningkatan populasi bermakna lebih banyak bekalan air diperlukan dan ini tidak termasuk air yang diperlukan pihak industri.

"Dan peningkatan orang dan industri ini telah membawa Selangor semakin hampir kepada krisis air," katanya.

Daripada segi bekalan dan permintaan, beliau berkata dua tahun lalu, kadar simpanan air Selangor adalah 6.0 peratus tetapi tahun ini telah menurun kepada kurang 3.0 peratus berbanding simpanan paling ideal sebanyak 10 peratus.

Kerajaan Selangor di bawah pimpinan pakatan pembangkang masih belum memberikan kelulusan bagi pembangunan loji Langat 2 tetapi kerajaan Persekutuan telah mengumumkan akan meneruskan pelaksanaan projek itu dan tender untuk membida projek itu akan dikeluarkan segera.

Dr Suhaimi juga mengingatkan bahawa simpanan air negeri sedang merosot dengan cepat dan tahun ini sahaja, permintaan telah melebihi bekalan sebanyak dua kali iaitu pada Mei dan Jun. Ini, katanya adalah petunjuk awal bagi gangguan bekalan air yang boleh berlaku dalam tempoh enam bulan dan menurutnya ini adalah "hakikat yang tidak boleh dipertikaikan".

Ditanya kenapa semua ini berlaku, profesor itu berkata semua ini berpunca daripada perancangan.

"Jika perancangan bagi infrastruktur tidak selaras dengan kadar pembangunan, inilah yang akan berlaku. Jika kita tahu akan ada pelaburan baru dan kawasan perindustri baru, kita pastinya boleh menjangkakan sama ada terdapat bekalan air, elektrik dan telekomunikasi yang mencukupi.

"Jadi kita perlu sediakan infrastruktur tambahan ini, jika tidak yang sedia ada tidak mampu menampungnya," katanya.

Berhubung dakwaan kerajaan Selangor bahawa Syabas, konsesi air swasta, tidak cekap dalam mengurangkan air tak berhasil (NRW), Dr Suhaimi berkata sebaliknya Syabas telah melakukannya dengan amat baik dalam soal itu.

"Hakikatnya ialah, daripada tindakan bersama saya dengan beberapa pemain industri air, saya dapat rumuskan bahawa sebelum Syabas mengambil alih pengagihan bekalan air, NRW sebenarnya amat tinggi iaitu 40 peratus.

"Syabas telah bertindak menggantikan paip-paip lama dan NRW telah dikurangkan kepada 30 peratus.

"Ini adalah satu pencapaian dari tempoh 2005-2008 dan ini sesuatu yang kita boleh banggakan, malahan jika dibandingkan dengan negara-negara lain yang mempunyai sistem pengurusan air yang lebih efisien," katanya.

Namun Dr Suhaimi berkata kecekapan dalam pengurusan NRW tidak terletak di pihak pengurusan semata-mata kerana apa yang lebih penting ialah suntikan modal dan menurutnya tanpa modal baru, "tidak mengira betapa bagusnya pengurusan, tangan anda terikat".

Katanya pengurusan NRW di Pulau Pinang adalah lebih baik daripada di Selangor kerana pihak berkuasa air negeri itu menerima suntikan modal untuk menaik taraf infrastruktur penting, tidak seperti di Selangor yang menurut Syabas, kerajaan negeri enggan meluluskan perbelanjaan modal (capex) walaupun ini termaktub dalam perjanjian konsesi.

Ditanya mengenai projek mitigasi yang dilaksanakan di Selangor untuk menangani masalah air, beliau berkata projek itu hanya langkah sementara manakala penyelesaian jangka panjang bagi bekalan air terawat mencukupi hanya boleh dicapai menerusi loji Langat 2 yang direka bentuk untuk memenuhi permintaan sehingga 2020.

"Tidak dapat disangkal bahawa untuk jangka panjang, kita perlukan kapasiti rawatan tambahan. Kita tiada masalah dengan air mentah, tetapi isunya ialah air terawat," kata Dr Suhaimi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment