My Add

Tuesday 7 August 2012

Malaysia kesal Annan letak jawatan wakil khas PBB

PUTRAJAYA, SELASA, 07 Ogos, 2012: Malaysia hari ini melahirkan rasa kesalnya berhubung peletakan jawatan Kofi Annan sebagai wakil khas Pertubuhan Bangsa Bersatu dan Liga Arab ke Syria minggu lepas.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia penuh yakin prinsip yang terkandung dalam Pelan Damai Enam Perkara menawarkan peluang terbaik untuk menamatkan krisis di negara itu.

"Kami amat bimbang dengan keganasan yang semakin menjadi-jadi di Syria, yang mengakibatkan ramai saudara kami - rakyat Syria - menjadi korban dan menanggung kesusahan.

"Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, kami menyeru semua pihak supaya menahan diri daripada melakukan lebih banyak keganasan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan krisis ini secara aman melalui dialog dan usaha perdamaian," katanya pada majlis berbuka puasa kementerian itu di sini hari ini.

Annan mengumumkan peletakan jawatannya minggu lepas dengan memberi alasan beliau tidak mungkin dapat melaksanakan misi yang diamanahkan kepadanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment