My Add

Friday 10 August 2012

Nik Aziz sedia bekerjasama, satu petanda baik: Awang Adek

BACHOK, JUMAAT, 10 Ogos, 2012: Kesediaan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk bekerjasama dengan Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur, satu petanda baik ke arah menyelesaikan isu terbabit.


Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, isu itu tidak seharusnya dipolitikkan, demi faedah rakyat Kelantan.
Kesediaan Nik Aziz itu sudah memadai walaupun ia tidak dipersetujui segelintir pimpinan PAS negeri itu, katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Ops Raya Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan di sini, semalam.

Pada 4 Ogos lalu, Nik Aziz dilaporkan berkata, beliau akan menghadap Sultan Kelantan bagi mendapat perkenan baginda mengenai wakil negeri itu yang akan menganggotai Jawatankuasa Khas terbabit.

Penubuhan jawatankuasa khas itu diumum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Sabtu lalu, yang bertujuan mengkaji secara adil dan telus berhubung bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan sultan negeri berkenaan. - BERNAMA


No comments:

Post a Comment