My Add

Tuesday 7 August 2012

OIC cadang hantar misi ke Rakhine

JEDDAH, ISNIN, 06 Ogos, 2012: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mencadangkan supaya satu pasukan misi khas dihantar bagi menyiasat pembunuhan etnik Rohingya di negeri Rakhine, barat Myanmar.

Setiausaha Agung badan Islam itu, Ekmeleddin Ihsanoglu berkata, OIC akan cuba meyakinkan Yangon untuk membenarkan misi mencari fakta tersebut dilakukan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh OIC, beliau melahirkan kekecewaan berhubung kegagalan masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan menghentikan pembunuhan, keganasan, penindasan dan pembersihan etnik oleh kerajaan Myanmar terhadap etnik Rohingya beragama Islam.

"OIC telah mengarahkan pejabatnya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York untuk menggesa Majlis Keselamatan menyiasat penindasan etnik Rohingya,'' katanya.

Dalam pada itu, keganasan terbaru antara etnik Rakhine beragama Buddha dengan etnik Rohingya menyebabkan tiga orang maut di barat Myanmar, kata pegawai kerajaan hari ini.

Pegawai yang enggan dikenali berkata, kejadian itu berlaku di Kyauktaw, kira-kira 100 kilometer dari utara Sittwe.

Beliau berkata, mangsa yang maut tersebut tidak dikenal pasti, manakala lima orang lain turut cedera dalam kejadian tersebut.

"Situasi kembali tenang dan normal. Kami tidak tahu bagaimana ia boleh bermula,'' katanya kepada AFP.

Berdasarkan data rasmi, konflik etnik dan agama di Rakhine menyaksikan kira-kira 80 orang maut sejak Jun lalu. - AGENSI/AFP

No comments:

Post a Comment