My Add

Friday 10 August 2012

Op Selamat sempena Aidilfitri bermula Ahad ini

SHAH ALAM, JUMAAT, 10 OGOS, 2012: Polis hari ini memperkenalkan 'Op Selamat' bagi menggantikan Ops Sikap sempena musim perayaan, yang turut menumpukan kepada keselamatan rumah dan harta benda yang ditinggal pemilik ketika balik kampung.

Operasi bertema "Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi" itu akan bermula Ahad ini selama 15 hari, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, di sini.

Bercakap kepada media selepas itu, Ismail berkata, umumnya operasi itu mengekalkan ciri-ciri Ops Sikap dengan menambah baik beberapa aspek, termasuk memperkenalkan borang khas kepada orang ramai yang meninggalkan kediaman untuk bercuti.

"Kepada yang menyambut perayaan di kampung, gunakanlah borang maklumat balik kampung yang boleh didapati di portal laman web rasmi PDRM (Polis Diraja Malaysia), cetak dan lengkapkan borang itu dan serahkan kepada balai polis berhampiran.

"Anggota polis akan membuat rondaan dan mengambil tindakan sewajarnya untuk menentukan keselamatan rumah-rumah yang ditinggalkan sepanjang musim perayaan nanti," katanya.

Ismail berkata, sekurang-kurangnya 6,000 anggota keselamatan termasuk polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bertugas sepanjang operasi kali ini.

Bagi kawalan di kawasan perumahan, PDRM menggunakan kekuatan sedia ada di setiap daerah kerana hanya 10 peratus anggota dan pegawai dibenar bercuti pada Aidilfitri kali ini, katanya.

Dalam mendidik disiplin pengguna jalan raya pula, Ismail berkata, PDRM menetapkan kehadiran polis menerusi konsep ronda dan statik di 150 lokasi 'black spot' di seluruh negara.

"Konsep ini melibatkan pendekatan menggunakan kanopi di R&R dan lay-by (hentian sebelah) sebagai tempat pertemuan petugas polis trafik dan lain-lain agensi berkaitan seperti JPJ dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Pada masa sama, kanopi di kawasan berkenaan boleh juga dijadikan pusat sumber maklumat asas bagi pengguna jalan raya yang menghadapi masalah semasa dalam perjalanan," katanya.

Katanya, Op Selamat juga masih mengekalkan pengiktirafan kepada 50 pemandu dan penunggang berhemah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment