My Add

Friday 10 August 2012

Ops Selamat ganti Ops Sikap mulai Aidilfitri

 Ismail Omar
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 09 Ogos, 2012: Selepas 25 musim perayaan, Ops Sikap yang memainkan peranan penting dalam penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan jalan raya kini akan digantikan dengan Ops Selamat 1.

Ops Selamat 1, yang dilancarkan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, di Shah Alam, Selangor, hari ini, tidak hanya tertumpu kepada kempen keselamatan jalan raya semata-mata, sebaliknya turut merangkumi kempen keselamatan secara menyeluruh.

Jamin keselamatan awam

Difahamkan konsep dan skop Ops Selamat 1, bakal memberikan rakyat berasa lebih yakin dan selamat dengan kehadiran serta kesungguhan Polis Diraja Malaysia dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam semasa musim perayaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata Jabatan Keselamatan dan Ketenteraman Awam (KDN/KA) Bukit Aman, dipertanggungjawabkan untuk memikirkan langkah dan cara terbaru yang lebih proaktif bagi memastikan keselamatan pada musim perayaan.

“Ops Selamat 1 adalah satu bentuk pembaharuan dalam penugasan dan penguatkuasaan PDRM pada musim perayaan bagi mencapai objektif sebenar untuk memastikan rakyat berasa selamat tanpa timbul sebarang rasa takut.

“Justeru, Ops Selamat merangkumi segala bentuk keselamatan iaitu keselamatan di jalan raya, selamat daripada sebarang aktiviti jenayah serta menyambut perayaan dengan perasaan gembira dan sentiasa berasa selamat,” katanya selepas menghadiri majlis membungkus kuih raya PDRM di Bukit Aman, semalam.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut mengenai Ops Selamat 1 dan hanya akan mengumumkan pada majlis pelancaran hari ini.

“Paling penting ialah rakyat tidak berasa takut berhubung keselamatan mereka berikutan banyak kejadian jenayah dilaporkan berlaku.

“Sebaliknya mereka lebih selamat dengan kehadiran polis di sekeliling mereka pada musim perayaan.

“Sepanjang Ops Selamat pengguna jalan raya diminta lebih berwaspada ketika memandu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Pada majlis yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, sebanyak 4,700 bungkusan hari raya yang mengandungi kuih raya dan kain pelekat dibungkus untuk diserahkan kepada pegawai dan anggota PDRM yang bertugas pada musim perayaan ini. - BH

No comments:

Post a Comment