My Add

Thursday 23 August 2012

PEKADIN saran lebih banyak tadika swasta KDM diwujudkan

TAMPARULI RABU, 22 Ogos, 2012: Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (PEKADIN) menyarankan supaya lebih banyak tadika Kadazandusun Murut (KDM) kendalian swasta diwujudkan di negeri ini.


Ketika membuat gesaan itu, Pengerusi Biro Penyelidikan dan Pemantapan Pendidikannya, Mojuntin Ebin, berkata langkah itu selari dengan inisiatif Kementerian Pelajaran memperkenalkan pembelajaran bahasa Kadazandusun, sejak 1997 di sekolah rendah dan 2006 di sekolah menengah, di negeri ini.

Sambil memberi contoh kejayaan projek perintis tadika ceria di Kampung Monggis, Tengilan, dekat sini yang menggunakan bahasa Kadazandusun sebagai bahasa pengantar, beliau berharap perkhidmatan tadika KDM swasta seperti itu diperluas ke kawasan lain bagi memantapkan penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar seawal usia.

"Kami di PEKADIN melihat pewujudan lebih banyak tadika KDM swasta sebagai satu strategi yang wajar dipertimbangkan. Pembabitan pihak swasta sangat perlu memandangkan ramai murid sekolah rendah (khususnya murid dari kalangan masyarakat KDM) yang masih lemah dalam bahasa itu," katanya di sini, hari ini.

Melalui usaha itu, beliau percaya ia boleh membantu dan memastikan bahasa Kadazandusun tidak hilang ditelan zaman.

Mojuntin turut berharap supaya lebih ramai golongan intelek KDM menerbitkan buku akademik sebagai bahan bacaan tambahan bagi pelajar yang mengambil peperiksaan mata pelajaran bahasa itu, di peringkat menengah.

“Usaha itu, dapat memastikan kelangsungan pembelajaran bahasa Kadazandusun sehingga ke peringkat universiti sekali gus memartabatkan bahasa itu sebagai bahasa ilmu dan menjadi antara mata pelajaran pilihan. 

“PEKADIN juga menyambut baik keprihatinan Kementerian Pelajaran memberi 'lampu hijau' kepada pengajaran bahasa Kadazandusun di peringkat sekolah rendah dan menengah di Sabah,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment