My Add

Wednesday 8 August 2012

Pemain bowling terselamat daripada hukuman penjara

PUTRAJAYA, RABU, 08 Ogos, 2012: Pemain bowling negara, Noor Afizal Azizan terselamat daripada hukuman penjara apabila Mahkamah Rayuan membenarkan permohonannya bagi mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen membebaskannya dengan perintah berkelakuan baik selama lima tahun dengan ikat jamin RM25,000 kerana merogol gadis bawah umur.

Panel tiga hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Raus Md Sharif sebulat suara mengetepikan tempoh penjara lima tahun yang dikenakan ke atas Noor Afizal oleh Mahkamah Tinggi Melaka kerana membenarkan rayuan pendakwaan bagi meningkatkan hukuman.

Dalam keputusannya, Raus bersetuju dengan peguam Noor Afizal, Hisyam Teh Poh Teik bahawa kepentingan awam tidak akan dilaksanakan jika Noor Afizal dihantar ke penjara memandangkan dia mempunyai masa depan yang baik.

Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Datuk K.N.Segara dan Datuk Azhar Ma'ah adalah dua lagi hakim yang bersidang sebagai panel.

Pada 5 Julai tahun lalu, Mahkamah Sesyen Melaka melepaskan Noor Afizal dengan bon jaminan berkelakuan baik selama lima tahun bernilai RM25,000 dengan seorang penjamin selepas mengaku salah merogol seorang gadis bawah umur di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka antara jam 12.30 tengah malam dan 5 pagi pada 5 Jun, 2009. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment