My Add

Monday 20 August 2012

PTPTN: Tunai waran WPP sebelum 8 September

TEMERLOH, AHAD, 19 Ogos, 2012: Penerima Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sekali lagi diingatkan supaya segera menukarkan waran WPP sebelum 8 September ini.

Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamad Said berkata, waran RM1,500 yang diberikan pada kali ini hanya sah laku selama sebulan dari tarikh dikeluarkan
iaitu 8 Ogos lepas.

"Pelajar boleh menunaikan waran tersebut di mana-mana kaunter cawangan CIMB Bank dan tidak boleh dimasukkan melalui mesin deposit cek dan pelajar perlu hadir sendiri dengan mengemukakan MyKad semasa menunaikan waran tersebut," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Pencegahan Jenayah peringkat Daerah Temerloh di Plaza Tol Temerloh, di sini semalam.

Ismail yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau berkata sehingga 31 Julai lepas, sebanyak 583,634 waran WPP telah ditunaikan pelajar membabitkan
peruntukan sebanyak RM856.9 juta.

Bagi kemasukan sesi September 2012, seramai 46,824 pelajar ditawarkan WPP PTPTN membabitkan peruntukan sebanyak RM70.2 juta dan di Pahang sahaja, beliau berkata seramai 2,876 pelajar ditawarkan WPP membabitkan RM4.3 juta.

Dalam pada itu, Ismail mengingatkan pelajar supaya memastikan permohonan pembiayaan PTPTN pada tarikh yang ditetapkan dan hendaklah berhubung dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) masing masing.

"Mereka juga boleh pergi terus ke pejabat PTPTN atau melayari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau hubungi talian Hotline PTPTN 03-2080 4455untuk keterangan lanjut," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment