My Add

Saturday 25 August 2012

Rakyat Malaysia mungkin belum bersedia bersara: Kajian

KUALA LUMPUR, SABTU, 25 Ogos, 2012: Satu kajian mengenai trend persaraan di Asia Timur menunjukkan kelemahan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat berikutan usia persaraan yang muda selain kadar rendah pencen dan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta tiada garis kemiskinan mantap berasaskan usia.

Penemuan itu didapati dalam laporan kajian "Imbangan Tradisi dan Kemodenan: Masa Depan Persaraan di Asia Timur ", berdasarkan kaji selidik Pusat Pengajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) di Malaysia, China, Hong Kong, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan, demikian menurut Prudential dalam satu kenyataan.

Laporan itu menyatakan bahawa sejumlah 92 peratus pesara pada masa ini melaporkan mereka meninggalkan bidang kerja menjelang usia 60 tahun.

Kaji selidik itu menunjukkan persaraan awal di Malaysia berkemungkinan besar akan terus kekal.

Malaysia adalah satu-satunya negara dalam Kaji Selidik Persaraan Asia Timur CSIS yang mempunyai kadar kesuburan lebih tinggi daripada kadar tahap penggantian iaitu sebanyak 2.1 dan satu-satunya negara dengan kadar populasi serta tenaga kerja yang berkembang pada tahun-tahun akan datang, kata laporan itu.

"Di China, golongan warga tua dalam populasinya bakal mencecah 30 peratus menjelang 2040 manakala 40 peratus di Hong Kong, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan. Sebaliknya, di Malaysia masih di bawah 20 peratus," katanya.

Bagaimanapun, usia persaraan wajib Malaysia yang awal mengimbangi segala kelebihan demografik dalam membina sistem persaraan yang mencukupi dan mampan, katanya.

Laporan berkenaan yang disediakan oleh Richard Jackson bersama Neil Howe, adalah sebahagian daripada Projek Ketersediaan Penuaan Global pelbagai peringkat yang dilancarkan CSIS dan syarikat insurans gergasi Britain, Prudential plc pada 2010.

Kaji selidik itu mendapati empat daripada lima pesara hari ini di Malaysia bimbang 'menjadi miskin dan memerlukan wang', 'menyusahkan anak-anak' dan 'tidak sihat serta tiada sesiapa untuk menjaga mereka' – lebih ramai berbanding kepada negara lain yang dikaji selidik.

"Perasaan bimbang ini boleh dikaitkan dengan usia persaraan yang lebih muda di Malaysia yang mengakibatkan pesara berisiko menghabiskan wang simpanan mereka, selain kadar penerimaan pencen di bawah KWSP dan tiada garis kemiskinan mantap berasaskan usia," katanya.

Prospek persaraan semakin baik bagi generasi muda yang lebih bersedia untuk tidak mengharapkan bantuan keluarga pada masa depan berbanding pesara hari ini, oleh itu lebih bergantung kepada wang simpanan mereka sendiri, katanya.

Namun, dengan satu dalam lima pekerja semasa masih menjangka tidak menerima manfaat pencen langsung, akibatnya masih ramai yang sebenarnya belum kukuh dari segi kewangan, katanya.

Pengerusi Prudential Corporation Asia, Donald Kanak berkata: “Menangani cabaran diakibatkan populasi yang semakin berusia adalah amat penting bagi masa depan Asia.

"Amat penting bahawa pembuat dasar dan industri sendiri bekerjasama untuk menanangani isu penting ini."

Charlie Oropeza, Ketua Pegawai Eksekutif Prudential Assurance Malaysia Berhad berkata: “Penemuan Kajian CSIS itu memperkukuhkan lagi betapa perlunya rakyat Malaysia merancang dan melindungi masa depan mereka ke arah persaraan.

"Walaupun pembuat dasar serta kerajaan Malaysia memperkenalkan rangka kerja contohnya Pelan Tindakan Kewangan untuk menyediakan lebih banyak produk dan perkhidmatan kewangan, rakyat Malaysia perlu lebih sedar dan bersedia dari segi kewangan dengan membuat keputusan-keputusan pelaburan yang bijak. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment