My Add

Wednesday 8 August 2012

Semua negeri PR guna Sebangsa, Senegara, Sejiwa

 Mustafa Ali
NOOR AZURA SAHRIL
SHAH ALAM, RABU, 08 Ogos, 2012: Kesemua empat negeri Pakatan Rakyat (PR) akan menggunakan tema Hari Kemerdekaan yang sama iaitu Sebangsa, Senegara, Sejiwa walaupun semalam telah menetapkan tiga tema kemerdekaan berbeza bagi keempat-empat negeri ditadbir.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Kedah bersetuju untuk bersama-sama menggunakan tema tersebut.

Beliau berkata, pada awalnya keputusan menggunakan tema berbeza atas dasar menghormati negeri-negeri yang telah menetapkan tema masing-masing.

“Sebelum ini, hanya Pulau Pinang dan Selangor akan menggunakan tema Sebangsa, Senegara, Sejiwa. Exco negeri Kedah dan Kelantan memutuskan tema masing-masing sebelum PR membuat keputusan untuk menggunakan tema itu.

“Bagaimanapun Kedah dan Kelantan yang menggunakan tema berbeza akhirnya sepakat menggunakan tema yang sama,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Menurutnya, keputusan PR menggunakan tema tersebut kerana menentang tema 55 Tahun Merdeka Janji Ditepati yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan.

Sebelum ini, PR mendesak Kerajaan Persekutuan supaya menukar tema Hari Kemerdekaan 55 Tahun Merdeka Janji Ditepati agar ia tidak mencerminkan Barisan Nasional (BN) semata-mata.

Kelmarin, PR menegaskan pendiriannya mahu menggunakan tema berbeza bagi negeri ditadbir mereka.

Tema sambutan Hari Kebangsaan bagi Kelantan ialah Menerajui Perubahan, Kedah memilih Terus Berbakti manakala Pulau Pinang dan Selangor berkongsi tema yang sama iaitu Sebangsa, Senegara, Sejiwa.

Difahamkan, perbezaan tersebut adalah bukti semangat demokrasi masih hidup dalam PR kerana negeri-negeri diberikan kebebasan untuk memilih tema mereka sendiri. - SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment