My Add

Tuesday 21 August 2012

Seng Giaw nasihat pemimpin PR hormat satu sama lain

JAMILAH HAMZAH
SHAH ALAM, SELASA, 21 Ogos, 2012: Seorang pemimpin kanan DAP berpendirian bahawa jika setiap pemimpin Pakatan Rakyat (PR) menghormati antara satu sama lain, situasi membabitkan Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh dan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dapat dielakkan.

Timbalan Pengerusi DAPKebangsaan, Dr Tan Seng Giaw (gambar) berkata, pemimpin-pemimpin politik sewajarnya peka dengan sensitiviti agama supaya tidak menimbulkan perasaan tidak selesa di kalangan rakyat berbeza agama dan kaum.

Menurutnya, isu berkaitan dengan agama setiap kaum tidak perlu dicampur oleh kaum lain dan sebolehnya biar penganut itu sendiri menyelesaikannya.

“Kita tak perlu nak masuk campur dalam isu agama lain yang akan beri kesan… sensitiviti pada kaum itu.

“Saya sendiri tak mahu sentuh isu seperti hudud kerana saya tahu itu akan menimbulkan rasa tidak senang kepada kaum lain,” kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Semalam, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar beranggapan bahawa Karpal tidak akan meneruskan hasrat mengambil tindakan perundangan ke atas Nasharudin atas alasan ia hanya akan membuka ruang kepada parti pesaing membuat provokasi dan mengambil kesempatan.

Katanya, beliau juga percaya pemimpin-pemimpin DAP juga mempunyai pandangan yang sama.

Jumaat lalu, Karpal memberitahu bahawa beliau telah mengambil keputusan untuk memulakan prosiding fitnah terhadap Nasharudin berhubung kenyataannya melabelnya sebagai anti-Islam.

Justeru, Seng Giaw yang juga Ahli Parlimen Kepong, menasihati semua pemimpin dalam perikatan itu supaya menghormati agama lain untuk menjamin keharmonian dan mengelakkan provokasipihak luar.

No comments:

Post a Comment