My Add

Wednesday 15 August 2012

Wajib carum sampai 60

 Oleh Zanariah Abd Mutalib

KWSP pinda akta lanjut usia pengeluaran swasta

PUTRAJAYA, SELASA, 14 Ogos 2012: Kakitangan swasta yang bekerja sehingga usia 60 tahun diwajibkan mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) walaupun dibenar mengeluarkan caruman pada usia 55 tahun.
Pencarum juga boleh mengeluarkan 30 peratus caruman ketika berusia 50 tahun dan baki 70 peratus lagi selepas berusia 55 tahun seperti termaktub dalam akta.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata berikutan keputusan itu, KWSP akan meminda akta berkaitan bagi melanjutkan usia pengeluaran sehingga 60 tahun.

“Selepas berbincang dengan kementerian, KWSP membuat keputusan bahawa pengeluaran wang caruman kekal pada usia 55 tahun.

Masih ada pilihan

“Namun, mereka mempunyai pilihan sama ada mengeluarkan caruman pada usia 55 tahun atau mengeluarkan semuanya pada usia 60 tahun,“ katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) semalam. Turut hadir, timbalannya Datuk Maznah Mazlan.
Subramaniam berkata, pelaksanaan persaraan wajib sektor swasta pada usia 60 tahun akan bermula tahun depan, iaitu selepas enam bulan atau setahun ia diwartakan.

Berhubung pelaksanaan gaji minimum, Subramaniam berkata, satu dialog yang dipengerusikan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Zainal Rahim Seman sedang diadakan dengan semua pihak berkepentingan.

“Setiap industri mempunyai kaedah pembayaran gaji berbeza dan perlu membuat perubahan dalam sistem pembayaran gaji, selain memastikan semua pihak berkepentingan dapat terima perubahan itu.

“Saya juga meminta semua pihak bertanggungjawab bertolak ansur mengenai perkara ini supaya kita dapat melaksanakannya Januari depan,” katanya.

Selain itu, Akta Minimum Kebajikan Pekerja-pekerja Ladang yang sebelum ini hanya berkuat kuasa di Semenanjung akan turut dikuatkuasakan di Sabah dan Sarawak serta dibincangkan pada peringkat kerajaan negeri, selain bersama wakil majikan dan pekerja. - BH

No comments:

Post a Comment