Ekonomi Malaysia mampu berkembang 5.5%
KUALA LUMPUR, ISNIN, 01 Oktober, 2012: Ekonomi Malaysia berpotensi untuk berkembang mengatasi sasaran kerajaan pada 4.5 peratus hingga 5.5 peratus tahun depan, kata firma penganalisis Spire Research and Consulting Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Leon Perera berkata persekitaran ekonomi global yang bertambah baik, peningkatan keyakinan pengguna di Malaysia serta kawalan fiskal berhemat kerajaan adalah antara faktor penyumbang utama yang menyokong sasaran tersebut.
"Saya yakin Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun depan lebih tinggi atau malahan melepasi sasaran 5.5 peratus.
"Krisis di zon Eropah dan isu kewangan Amerika Syarikat dijangka mencatatkan proses pemulihan perlahan, yang akan membolehkan ekonomi-ekonomi lain menjadi lebih kukuh," katanya kepada Bernama hari ini.
Perera berkata usaha kerajaan menambah baik ekonomi menerusi pelbagai inisiatif seperti Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) akan disokong menerusi langkah-langkah yang diumumkan dalam Belanjawan 2013.
"Belanjawan 2013 merupakan pakej fiskal menyeluruh bagi menangani kebimbangan semua isu ekonomi di Malaysia, mengambil kira tempoh tidak menentu sekarang," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment