My Add

Monday 29 October 2012

Ibu dan anak maut nahas dengan bas ekspres

IPOH, ISNIN, 29 Oktober, 2012: Dua beranak terbunuh manakala sepasang suami isteri cedera parah apabila tiga buah kenderaan membabitkan bas ekspres, kereta dan motosikal terbabit dalam kemalangan di Jalan Temoh-Tapah berhadapan Balai Polis Temoh awal hari ini.

Mangsa yang terbunuh pemandu kereta Norni Ahmad, 27, dan anak lelakinya Ikmal Danial Abdullah berusia tujuh tahun. Mereka berasal dari Taman Timur, Temoh.

Ketua Polis Trafik Negeri, Supt Shahrul Othman Mansur berkata kedua-dua mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

Dua lagi mangsa yang cedera parah ialah penunggang motosikal, Mohamad Rosli Hashim 28, dan isterinya Faezah Samsuddin, 26, yang berasal dari Jalan Damai, Tapah dan mereka dirawat di hospital yang sama, katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata kejadian berlaku pada 1.40 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari Tapah ke Kampar dan dikatakan dirempuh dari arah hadapan oleh sebuah bas ekspres yang datang dari arah bertentangan.

Siasatan polis mendapati bas tersebut yang datang dari arah Pulau Pinang ke Kuala Lumpur membawa 20 penumpang dikatakan gagal dikawal lalu terbabas dan merempuh kereta jenis Proton Saga yang dipandu mangsa, katanya.

Shahrul berkata pasangan suami isteri itu mengalami cedera parah selepas merempuh belakang kereta yang dipandu mangsa.

Pemandu bas ditahan untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin polis, manakala 20 penumpangnya yang tidak cedera meneruskan perjalanan dengan bas gantian, katanya.

Akibat kejadian itu kedua-dua mangsa tersepit di dalam kereta yang remuk dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan kesemua mangsa, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment