My Add

Wednesday 10 October 2012

Kenyataan Nasha bukan perkara pelik: Tuan Ibrahim

ARASHY AZIM
SHAH ALAM, RABU, 10 Oktober, 2012: Kenyataan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa semalam, yang mengingatkan parti itu agar tidak mengutamakan kuasa semata-mata sehingga sanggup meletakkan prinsip Islam di tempat kedua, bukan sesuatu yang pelik, kata seorang pemimpin kanan parti itu.

"Saya tidak melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau (Nasharudin) sebagai sesuatu perkara yang pelik... apa yang diperkatakan adalah sebagai memperingati dasar perjuangan kita," kata Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Sinar Harian Online.

Sehubungan itu tegas beliau, untuk memerintah, kuasa yang diperoleh menerusi pilihan raya akan memberi jalan untuk melaksanakan dasar perjuangan Pas.

"Bagi pendapat saya, kuasa yang ada akan memberi kita jalan untuk memerintah," kata beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang.

Justeru, beliau turut tidak menafikan berbeza pendapat dengan orang lain juga sebagai perkara biasa.

"Saya memberikan contoh, dasar Pas tidak pernah berganjak, berbeza pendapat dengan parti lain akan terjadi," tambah beliau.

Namun beliau turut mengingatkan bahawa dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), pelbagai pihak akan cuba untuk memperlihatkan Pas tidak sehaluan dalam Pakatan Rakyat (PR).

Pas berada dalam Pakatan Rakyat (PR), yang turut dianggotai DAP dan PKR.

"Dalam situasi kita untuk menempuh PRU13, kita akan mempertahankan kenyataan PR untuk tidak memberikan senjata kepada musuh dan tidak sesekali menghunus senjata terhadap kawan kita sendiri," ujar beliau lagi.

Tuan Ibrahim yang juga ahli Majlis Syura mengulas kenyataan Nasharudin semalam, dalam menghadapi PRU13, mengingatkan parti itu agar tidak mengutamakan kuasa semata-mata dan sehingga sanggup meletakkan prinsip Islam di tempat kedua.

Nasharudin juga ahli Majlis Syura Pas.

Kata Nasharudin, dalam konteks politik hari ini, masalah perpecahan umat sering dilupakan sedangkan ia adalah masalah utama yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Nasharudin berkata, beliau turut hairan mengapa usaha untuk membincangkan masalah umat Islam terutamanya melibatkan dua parti terbesar orang Melayu Islam iaitu parti Umno dan Pas sering dilihat 'taboo'.

"Jika umat Islam negara ini terus berpecah belah, apakah yang bakal terjadi kepada umat untuk lima, 10 atau 15 tahun lagi? Adakah umat Islam tergelincir?

"Adakah agama mengajar umatnya meletakkan ajaran Islam di tempat kedua semata-mata mahu mendapatkan kuasa?" kata beliau pada Seminar Dakwah Islamiyyah Sebagai Tunggak Kekuatan Ummah di PWTC, semalam.

Katanya lagi, kemenangan Islam terletak di tangan umatnya sendiri tanpa bantuan dari bukan Islam.

Terdahulu, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kenyataan Nasharudin sebagai "menyentuh dan mencabar" keputusan Majlis Syura apabila mendakwa parti itu kini mengutamakan kuasa dan meletakkan prinsip Islam di tempat kedua.

Sambil menekankan kuasa dan Islam tidak boleh dipisahkan, kata Mahfuz, Pas memang memerlukan kuasa yang meluas untuk menegakkan Islam di negara ini.

Katanya, aspek itu yang diputuskan oleh Majlis Syura selaku badan tertinggi membuat keputusan dalam Pas.

No comments:

Post a Comment