My Add

Monday 8 October 2012

Muhyiddin gesa gerakan dakwah sebar mesej perpaduan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 08 Oktober, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gerakan dakwah di Malaysia boleh memainkan peranan utama dalam menyebarkan mesej perpaduan secara meluas kepada segenap lapisan masyarakat.

Beliau berharap peranan itu boleh dilaksanakan dengan berkesan kerana sifat gerakan dakwah yang bebas dan mempunyai pengaruh merentasi batas politik.

"Saya yakin perpaduan ummah akan dapat dicapai sekiranya semua pihak ikhlas dalam memperjuangkannya tanpa ada tujuan lain selain melihat Islam terus dimartabatkan dan syiar Islam ditegakkan di negara kita," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Dakwah Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Muhyiddin turut mengingatkan umat Islam di negara ini supaya mengelakkan perpecahan sesama sendiri dan mengekalkan perpaduan sedia ada memandangkan ia faktor terpenting yang menentukan kesejahteraan ummah.

"Janganlah kita membiarkan perbezaan fahaman atau pandangan politik menyebabkan kita bersengketa sesama sendiri, berpecah belah dan akhirnya merugikan umat Islam. Pertahankanlah nikmat kesejahteraan yang kita kecapi hari ini dengan mengekalkan perpaduan yang kita ada," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment