My Add

Sunday 28 October 2012

Nasi dagang, makanan tradisional Terengganu tembusi pasaran London

KEMAMAN, SABTU, 27 Oktober, 2012: Makanan tradisional Terengganu seperti nasi dagang dan keropok lekor akan diperkenalkan di London melalui pembukaan restoran T-Kafe tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Mohamed Awang Tera berkata, sebelum ini makanan Terengganu itu sudah diperkenalkan di Perth, Australia, apabila restoran T-Kafe dibuka di sana bulan lepas.

"Sambutan terhadap makanan tersebut di Australia sangat menggalakan dan kita hendak makanan Terengganu seperti nasi dagang dan keropok lekor juga sampai ke London," katanya di sini hari ini.

Mohamed berkata, bagi tujuan itu, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu akan meninjau dan melihat kesesuaian membuka T-Kafe di pinggir kota London.

Beliau berkata, kerajaan negeri disertai wakil pelbagai agensi dan jabatan akan berada di sana menghadiri persidangan dan seminar antarabangsa koperasi di Manchester pada 31 Oktober ini.

"Semasa menghadiri seminar itu, kita akan mengambil peluang meninjau dan melihat tempat sesuai untuk perkenalkan masakan Terengganu itu," katanya.

Mohamed berkata, beliau yakin masakan Terengganu akan mendapat sambutan memandangkan ramai orang Malaysia berada di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, YPU mungkin akan mencari seorang rakyat Malaysia yang menetap di Manchester untuk membuka T-Kafe dan menjual nasi dagang di samping makanan barat.

Mengulas mengenai jualan nasi dagang di Perth, beliau berkata, sambutan sangat menggalakkan dan mendapat maklumat bahawa ramai orang di sana sukakan nasi dagang dan keropok lekor, dan berharap di London pun begitu juga" katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment