My Add

Monday, 1 October 2012

Tun Dr Mahathir, isteri hadiri majlis makan malam di New York

NEW YORK, ISNIN, 01 Oktober, 2012: Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, menghadiri majlis makan malam sebelum mengakhiri lawatan mereka ke New York, malam Ahad.

Pasangan itu dirai pada majlis tersebut oleh Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Hussein Haniff dan isteri, Datin Sharifah Raguan Syed Ismail, di kediaman rasmi mereka yang terletak di 54th Street di tengah-tengah Pulau Manhattan.

Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan isteri, Datin Seri Rubiah Abdul Samad, Timbalan Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datuk Saiful Azam Abdullah dan isteri, Datin Khadijah Mahmud, serta ketua jabatan dan agensi Malaysia yang beroperasi di sekitar New York.

Pelbagai juadah seperti kari ikan, sayur lemak taugeh, udang goreng, ikan kering goreng, ikan stim, bingka ubi kayu dan pulut bersama kuah durian yang disediakan sendiri oleh Sharifah Raguan menjadi hidangan kepada tetamu.

Dr Mahathir menghadiahkan buku tulisannya 'A Doctor In The House, The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad' kepada Anifah, Hussein dan Saiful.

Pasangan itu juga sempat bergambar sebelum pulang ke hotel penginapan mereka dan dijangka berlepas ke tanah air pada Isnin pagi.

Dr Mahathir berada di New York sejak Rabu lalu untuk menerima anugerah Peringatan Rafik Hariri PBB-Habitat 2012 pada Jumaat lalu.
Bekas perdana menteri berusia 87 tahun itu dipilih menerima anugerah tersebut sebagai mengiktiraf kepimpinan, kenegarawan dan tadbir urus yang baik. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment