My Add

Saturday 27 October 2012

Warga emas, menantu cedera ditetak penyamun

SUNGAI PETANI, JUMAAT, 26 Oktober, 2012: Dua beranak terpaksa menyambut Hari Raya Aidiladha hari ini di hospital apabila cedera ditetak dua penyamun dengan parang yang memecah masuk rumah mereka di Kampung Simpang Empat Sedaka, Yan dekat sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian pukul 5.20 pagi itu, Azizan Hanafi, 64, mengalami lima kesan luka di kepala dan belakang badan serta terpaksa menerima hampir 50 jahitan.

Menantunya, Mohd. Fakhzan Nasir, 34, yang merupakan Pegawai Perpaduan Kuala Muda/Yan pula menerima dua jahitan di kepala dan cedera di tapak tangan kanan akibat diserang dua suspek itu yang masing-masing bersenjatakan parang.

Berikutan itu, kedua-dua mangsa menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.

Menceritakan detik cemas berkenaan, Azizan berkata, kedua-dua suspek tersebut dipercayai mengambil peluang memasuki rumah mereka semasa Mohd. Fakhzan membuka pintu belakang untuk mengambil wuduk di bilik air di luar rumah.

Bagaimanapun, katanya, kelibat dua suspek bertopeng muka itu disedari oleh isterinya, Mah Sulaiman, 62, lalu terus menjerit kerana terkejut.

"Mendengar jeritan itu, saya meluru keluar dari bilik lalu berlaku pergelutan dengan salah seorang suspek. Mohd. Fakhzan cuba datang membantu namun dia juga cedera akibat ditetak oleh rakan suspek itu," katanya ketika ditemui di HSAH hari ini.

Menurut Azizan, kedua-dua suspek berkenaan kemudian melarikan diri bersama sebuah kereta Perodua Myvi miliknya, seutas rantai emas dan duit raya sebanyak RM200 yang ingin diberikan kepada kanak-kanak sempena sambutan Hari Raya Aidiladha hari ini.

Difahamkan, perompak berkenaan datang ke rumah mereka dengan menaiki dua buah basikal.

Tambah Azizan, empat lagi ahli keluarganya iaitu anaknya, Shaukiah Hanim yang hamil enam bulan dan dua cucunya tidak dicederakan dalam kejadian itu yang pertama kali dialaminya sejak menetap di rumah berkenaan sejak 40 tahun lalu.

"Inilah juga kali pertama keluarga saya terpaksa menyambut hari raya di hospital," katanya.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Supritendan Ismail Abu ketika dihubungi memberitahu, pihaknya kini memburu kedua-dua suspek itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment