My Add

Monday 3 December 2012

Bertenaga, cergas hadapi PRU-13

 *NAJIB Tun Razak bersama Dr. Mahathir Mohamad dan M. Kayveas menjulang tangan bersama selepas menyampaikan ucapan perasmian Perhimpunan Agung PPP di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD. NOOR MAT AMIN

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
KUALA LUMPUR, AHAD, 02 Disember, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, UMNO yang baru sahaja selesai menjayakan perhimpunan agung kini berada dalam keadaan cukup bertenaga dan cergas sepenuhnya untuk turun ke medan Pilihan Raya Umum Ke-13.

Katanya, hal sama juga berlaku kepada parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) sekali gus membuktikan kesungguhan parti itu menterjemah sokongan rakyat melalui mandat besar dengan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurut Najib, UMNO dan BN sudah belajar daripada mimpi ngeri tsunami politik 2008 dan kini bangkit membuktikan kepada rakyat melalui pelbagai dasar transformasi untuk memastikan kesinambungan kerajaan sekarang kekal berterusan.

Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi BN tetap memberi ingatan kepada seluruh parti komponen supaya menggunakan baki masa yang masih ada untuk memastikan 'sifar masalah' baik melibatkan isu dalaman atau masalah antara parti komponen.

"Selepas tiga hari UMNO bersidang, saya boleh laporkan bahawa UMNO merupakan parti yang sudah kembali bertenaga dan cergas sepenuhnya untuk menegakkan perjuangan kita dalam pilihan raya umum akan datang.

"Kini, parti Parti Progresif Penduduk (PPP) pula bersidang di dewan yang sama (Dewan Merdeka). Saya lihat PPP juga kembali bertenaga dan cergas dan ini ramuan yang amat penting," katanya berucap merasmikan Perhimpunan Agung PPP di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Yang turut hadir, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Presiden PPP, Datuk Seri M. Kayveas, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta pemimpin-pemimpin parti komponen BN.

Najib menambah, selaku sebuah parti dengan keluarga besar iaitu sebanyak 13 parti komponen, jumlah itu merupakan kekuatan BN yang langsung tidak mampu ditangani pembangkang serta mesti diterjemah dalam bentuk sokongan rakyat.

Sehubungan itu, beliau mahu seluruh komponen BN bergerak sebagai sebuah parti yang tersusun dengan objektif, kesepaduan serta kesefahaman jitu supaya segala dasar kerajaan dapat dipusatkan mengikut keperluan dan aspirasi rakyat yang mahu kepada transformasi.

"Kita mesti faham kehendak rakyat dan kita mesti pastikan dasar-dasar kita adalah tindak balas selari kepada keperluan serta aspirasi mereka termasuk dalam soal sistem. Kadang-kadang bukan kepimpinan yang bermasalah, tetapi bahagian pelaksana dalam sistem.

"Namun, janganlah kerana marahkan nyamuk kita bakar kelambu, jangan kerana nyamuk kita tuduh keseluruhan sistem tidak baik kerana yang penting kerajaan sekarang sedang melakukan transformasi dan perubahan itu dilakukan melalui kerajaan sedia ada," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment