My Add

Monday 3 December 2012

Kemuka tuntutan dalam Jawatankuasa Khas Petroleum

KOTA BHARU, AHAD, 02 Disember, 2012: Kerajaan Pas Kelantan diminta menyuarakan semua tuntutan royalti minyak dalam jawatankuasa khas yang ditubuhkan Kerajaan Pusat pada Ogos lalu.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamad berkata, kerajaan Pas Kelantan tidak perlu membuat tuntutan di luar jawatankuasa itu atau menerusi media massa kerana mereka telah mengiktiraf jawatankuasa tersebut apabila bersetuju menghantar wakil bagi menyertainya.

Beliau berkata, jawatankuasa khas itu adalah medan terbaik mengemukakan semua tuntutan bagi dibincangkan serta diselesaikan secara baik.

"Saya difahamkan jawatankuasa itu akan bermesyuarat tidak lama lagi dan kerajaan negeri Kelantan sudah mengemukakan nama yang akan menganggotai jawatankuasa tersebut.

"Jadi tidak ada isu, apabila mereka menghantar wakil bermakna kerajaan Kelantan telah bersetuju perkara ini dirundingkan oleh jawatankuasa khas tersebut, maka kalau ada tuntutan RM100 bilion, RM100 juta atau sebarang jumlah sekali pun, perlu diselesaikan dalam jawatankuasa yang akan dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad itu," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Shukry Mohd. Salleh dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha.

Mustapa mengulas tindakan kerajaan Pas Kelantan yang menuntut bayaran tunai atau royalti minyak daripada Petronas dibayar terus kepada kerajaan negeri.

Kelmarin, Petronas menafikan berhutang dengan kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri dalam pembayaran royalti minyak.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas dilaporkan berkata, semua pembayaran royalti itu telah dibuat melalui Kerajaan Persekutuan.

Pada 4 Ogos lalu, Kerajaan Persekutuan bersetuju menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Jawatankuasa Khas itu akan dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negara serta wakil kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment