My Add

Sunday 2 December 2012

Muhyiddin gariskan 7 rukun
 
KUALA LUMPUR, SABTU, 01 Disember, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan tujuh 'Rukun Kemenangan' sebagai 'senjata' menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 untuk menjamin kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Sambil menyatakan pilihan raya umum akan datang bakal memberi cabaran amat getir, Timbalan Presiden UMNO berkata, rukun tersebut ialah patuh kepada pemimpin, atur strategi dengan tepat, fahami peranan dan tanggungjawab, kenali siapa musuh, kejapkan perpaduan, mesti bersiap siaga dan berjuang habis-habisan.

"Tujuh rukun yang saya sebutkan tadi...ini nanti akan kita sebarkan supaya dapat diteliti di semua peringkat pemimpin dan anggota parti di seluruh negara untuk menentukan agar kita beroleh kejayaan.

"Kita mahu menentukan kubu-kubu kuat kita dipertahankan agar kawasan yang kalah dapat kita tebus kembali," katanya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Menurutnya, bagi rukun yang pertama, ketaatan dan kesetiaan wajib dilaksanakan dengan menerima segala bentuk keputusan yang dibuat oleh pemimpin parti mengenai hal-hal berkaitan pilihan raya sama ada berkaitan tugas, tanggungjawab ataupun soal pemilihan calon dan kawasan pilihan raya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, rukun kedua ialah mengatur strategi tepat mengikut kesesuaian di negeri masing-masing kerana pendekatan digunakan mungkin berbeza.

"Apa pun yang penting, kita mempertahankan segala kekuatan yang ada, menentukan kawasan yang sudah pun dimenangi dan negeri yang dikuasai terus kekal di bawah BN. Kawasan-kawasan yang kita kalah pada pilihan raya umum lalu hendaklah ditebus semula supaya kita beroleh kejayaan lebih besar.

"Soal ketiga ialah memahami peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Saya percaya saudara yang sudah bersama-sama dalam gerakan pilihan raya sejak dahulu dapat memikirkan tentang bagaimanakah tugas dan tanggungjawab yang hendak dipikul dengan lebih bersungguh-sungguh," katanya sambil meminta strategi itu dilaksanakan dengan tersusun dan rapi bagi mencapai kemenangan besar.

Beliau berkata, semua ahli UMNO juga mesti mengenali musuh UMNO dan BN iaitu pakatan pembangkang yang terdiri daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas yang disifatkan sebagai kuda tunggangan kepada kedua-dua parti sekutunya itu sehingga menyebabkan umat Islam keliru serta mewujudkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu.

"Di samping kita mengenali musuh ini, kita juga mesti tahu gerakan yang mereka lakukan di setiap peringkat iaitu nasional, negeri, kawasan, cawangan dan akar umbi. Jangan biarkan mereka tembusi setiap kawasan kita dan sebab itu perkukuhkan kubu kita dan tanggungjawab itu haruslah dilaksanakan dengan sebaik-baiknya," katanya.

Beliau berkata, rukun kemenangan kelima ialah kesemua ahli UMNO dan BN mesti kejapkan perpaduan dan merapatkan barisan dengan menyelaraskan setiap tindakan di semua peringkat termasuk tidak menimbulkan perbalahan.

"Kita mesti sederap dalam semua langkah, jangan bangkitkan isu-isu baru, jangan timbulkan masalah yang boleh merudum keadaan kita menjadi lebih lemah seperti yang berlaku pada masa-masa yang lepas. Maka, tanggungjawab kita ialah bersama-sama mengukuhkan kedudukan kita," katanya.

Jelasnya, dalam peperangan, kesiapsiagaan semua bala tentera juga amat penting iaitu bukan sahaja dari segi fizikal, malah mental dan rohani untuk mengharungi cabaran besar dalam pilihan raya umum akan datang.

"Jangan kita leka, jangan kita lalai, segala bentuk logistik yang biasa disediakan hendaklah kita lengkapkan di setiap peringkat termasuk di peringkat cawangan," katanya.

Menurut Muhyiddin, senjata terakhir yang perlu 'dihunus' semua ahli UMNO dan BN adalah berjuang habis-habisan untuk memerangi pakatan pembangkang yang kini kian terdesak untuk mencapai cita-cita mereka sedangkan sokongan rakyat kepada UMNO dan BN semakin meningkat.

"Gerakan dan asakan yang akan dibuat oleh pihak pembangkang lebih hebat daripada biasa. Kita jangkakan mereka berada dalam keadaan cukup 'desperate', mereka sudah merupakan desperado kerana menjangkakan tidak akan mendapat sokongan rakyat," katanya.

Muhyiddin turut meminta semua Bilik Gerakan BN di peringkat negeri dan bahagian digerakkan sepenuhnya bermula hari ini hingga pilihan raya umum akan datang khususnya untuk menarik lebih banyak sokongan rakyat kepada parti itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment