My Add

Sunday 2 December 2012

Tolak Anwar, pembangkang

*MOHD. Shafie Apdal menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2012, di PWTC, semalam.

KUALA LUMPUR, SABTU, 01 Disember, 2012: Semua pengundi berdaftar yang kini berjumlah 13 juta orang wajib menolak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang kerana jelas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak layak menjadi seorang pemimpin.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, terlalu banyak petunjuk serta petanda yang diberikan oleh Allah SWT kepada rakyat negara ini sejak lebih sedekad lalu hingga ke saat ini bagi membuktikan keredaan-Nya yang tidak pernah berpihak kepada Anwar.

Beliau berkata, rakyat harus sedar Anwar pernah memangku jawatan Perdana Menteri selama tiga bulan ketika di dalam kerajaan dan seharusnya Ketua Pembangkang itu tiada masalah untuk menjadi Perdana Menteri tetapi itu tidak berlaku.

"Bukan Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjadi Perdana Menteri tetapi Anwar. Anwar pernah memangku jawatan Perdana Menteri dan terlalu hampir untuk memegang jawatan tersebut tetapi atas kehendak Allah, Anwar gagal.

"Allah telah memberi banyak petunjuk kepada kita berhubung dengan Anwar. Oleh itu, saya meminta bukan sahaja kepada ahli UMNO dan penyokong BN tetapi juga kepada semua 13 juta pengundi berdaftar supaya mereka terus memberi mandat kepada Najib dan BN pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Mohd. Shafie berkata, mesejnya itu turut termasuk kepimpinan parti-parti pembangkang yang lain khususnya DAP dan Pas kerana jelas mereka tidak akan mampu mentadbir negara dan membela nasib rakyat.

"Rakyat tiada pilihan lain. Mereka perlu memberi mandat kepada BN pada pilihan raya akan datang demi agama, bangsa dan negara," ujarnya.

Dalam ucapannya, beliau turut mengingatkan semua ahli dan pemimpin mengenai faktor calon boleh menang yang perlu dipertahankan bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang.

"Calon-calon yang tidak terpilih pada pilihan raya umum akan datang, tidak bererti mereka disisihkan daripada parti sebaliknya itu merupakan satu pengorbanan demi masa depan generasi akan datang.

"Yakinlah pengorbanan yang mereka lakukan ini boleh membuatkan masa depan zuriat kita lebih cemerlang," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment