My Add

Tuesday 4 December 2012

Pelaburan ETP lonjak pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun depan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 03 Disember, 2012: Syarikat perunding pengurusan kewangan, Nomura International (Hong Kong) Ltd, berkata pelaburan baru dan sedia ada di bawah Program Transformasi Ekonomi(ETP) akan terus melonjakkan pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun depan.

Pakar Ekonomi Asia Tenggara firma itu, Euben Paracuelles, juga positif tentang unjuran ringgit dan meramalkan mata wang itu akan meningkat kepada RM2.92 berbanding dolar AS menjelang akhir 2013 dan RM3.02 menjelang akhir tahun.

"Menjelang pilihan raya, ringgit mungkin akan mengukuh. Tiada tanda-tanda modal dibawa keluar kerana kebimbangan tentang pilihan raya," katanya pada satu sidang media mengenai unjuran pendapatan tetap bagi 2013 serta sempena penerbitan satu laporan tentang unjuran bagi Asia tahun depan.

Beliau menjangka pertumbuhan satu tahun penuh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi kira-kira lima peratus pada 2012.

Bagaimanapun, Paracuelles berkata pertumbuhan KDNK negara pada 2013 dijangka merosot kepada 4.3 peratus berikutan kelemahan permintaan domestik dan luar.
Inflasi indeks harga pengguna akan mencatatkan purata 2.4 peratus pada 2013, lebih tinggi daripada 1.7 peratus pada 2012 berikutan peningkatan harga yang lebih tinggi, tekanan kos dan pelarasan subsidi sederhana.

Paracuelles juga berkata, Bank Negara Malaysia akan mengekalkan kadar polisinya sepanjang setengah pertama tahun depan sebelum menaikkannya secara berperingkat sebanyak 50 mata asas pada suku ketiga.
"Saya rasa dari segi dasar monetari, BNM jelas tentang pendirian mereka. Mereka bukan hanya bimbang tentang inflasi dan pertumbuhan.

"Ia adalah tentang ketidakseimbangan kewangan akibat mengekalkan kadar terlalu rendah untuk terlalu lama. Saya rasa BNM cenderung untuk menormalkan kadar secepat mungkin. Saya tidak menjangka mereka mengurangkan kadar," katanya.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Nomura International, Robert Subbaraman berkata, 2013 akan menjadi satu tahun yang mencabar untuk ekonomi maju dan pertumbuhan ekonomi membangun dijangka lebih rendah tahun depan berbanding 2012.

Beliau juga berkata, ekonomi Asia akan kekal berdaya tahan disokong, antara lain, oleh China dan aliran masuk modal yang kukuh ke rantau ini.

Bagaimanapun, unjuran lemah yang berterusan dijangka bagi ekonomi maju.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment